Dato' Dr. Zambre dari Ketua Pemuda, kemudian Ketua Bahagian Lumut dan ADUN Pangkor serta Exco Kerajaan Negeri...hari ini meniti susun jalur kepimpinan Umno. Selamat berjuang Dato'... Pemenang sudah diketahui melalui ikan yang merentap joran. Pelapis kecil Umno ini juga mungkinkah salah seorang daripada pemenang.
Tan Sri Rahim kagum dan bangga melihat perpaduan Umno terus kukuh dan ahli-ahli Umno di peringkat cawangan masih terus menjadi tunjang kepada kekuatan Umno secara keseluruhannya
Sudah pasti adik kecil ini salah seorang daripada pemenang pertandingan memancing. Namun bukan kemenangan itu yang diharapkan oleh Dato Dr Zambre tetapi penerimaan adik kecil ini membayangkan penerimaan generasi pelapis terhadap Umno.
Tan Sri Rahim dan Dato Dr. Zambre bergambar kenangan dengan para pemenang pada petang itu
Majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) dan UMNO Cawangan Kampong Sungai Wangi kelihatan meriah petang itu dengan kehadiran Tan Sri Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Bertempat di Dataran Kampong Sungai Wangi, kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampong dan peserta pertandingan. Kemesraan sebuah keluarga UMNO amat terasa hinggakan sukar untuk kita merasa terasing meskipun berada di tempat orang.
Dato’ Dr. Zambre yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak awal-awal lagi menunggu kami di persimpangan jalan masuk ke Dataran Kampong Sungai Wangi dan seterusnya dirai dengan jamuan petang yang enak.
Ketika diminta berucap di majlis serba ringkas tetapi penuh bermakna itu, Tan Sri Rahim tidak dapat menyembunyikan nostalgianya ketika menjadi Ketua Menteri Melaka dahulu bila melihat keakraban orang kampong Sungai Wanig menyambut dan merai beliau serta program yang dianjurkan.
Katanya, Umno sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Melayu. Ini dapat dilihat daripada suasana kehidupan masyarakat Melayu.
“Kalau nak buat kenduri kahwin, jawatankuasa Umno cawangan akan dibawa berbincang. Kalau ada kematian begitu juga malah hinggakan kepada majlis berkhatan pun umno cawangan akan dilibat.”
“Umno di peringkat cawangan adalah akar umbi kekuatan orang-orang Melayu. Oleh itu jangan sisihkan Umno dalam segala urusan terutama bila melibatkan komuniti masyarakat di kampong”.
“Di peringkat kampong, kita tak ada Ngo’s atau persatuan lain melainkan Umno dan disetengah-tengah tempat persatuan beliau. Namun persatuan belia itu sendiri dipimpin oleh orang yang ada pertalian dengan Umno.” tegasnya
Katanya, beliau merasa bangga bila melihat keakraban dan perpaduan yang ditunjuk oleh umno peringkat cawangan melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Jelasnya lagi, beliau bersedia untuk hadir lagi jika dijemput dalam mana-mana program Umno meskipun di peringkat cawangan.
Sementara itu dalam ucapannya Dato’ Dr. Zambri membayangkan beginilah cara hidup mereka menjaga dan memimpin Umno diperingkat bahagian dan cawangan, apatah lagi Umno di kawasan luar bandar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor berkata, beliau bersetuju dengan Tan Sri Rahim bahawa budaya hidup orang Melayu sudah sebati dengan Umno. Ini dapat ukur melalui perpaduan dan keakraban dalam masyarakat Melayu.
“Apa sahaja aktiviti masyarakat Melayu sudah menjadi aktiviti Umno, begitu juga sebaliknya. Inilah kekuatan dan perpaduan dalam keluarga Umno” jelasnya