PERDANA MENTERI MAHU MELAYU HEBAT POLITIK DAN EKONOMI
KUALA LUMPUR 9 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu persaingan dan strategi yang digunakan oleh orang Melayu untuk menguasai politik digunakan pula bagi menguasai ekonomi.

Perdana Menteri berkata, orang Melayu bukannya tidak boleh berniaga tetapi mereka perlu membina keupayaan berteraskan ilmu yang boleh memberi keyakinan kepada mereka untuk bersaing dalam dunia perniagaan.

Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Kongres Jihad Ekonomi 2007 anjuran Gabem dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia




Bagaimanapun, kata beliau, orang Melayu tidak mempunyai semangat untuk bersaing terutama dengan usahawan kaum lain dan mudah putus asa ketika berhadapan dengan masalah perniagaan.

"Saya malu. Saya bukan nak perleceh bangsa saya, tetapi sekadar memberi maklum balas," kata beliau dalam ucapan perasmian Kongres Jihad Ekonomi 2007 dan pelancaran Akademi Kecemerlangan Perniagaan Melayu (Gabex) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Kongres selama dua hari itu yang bermula hari ini dijangka merintis jalan mencari pendekatan alternatif kepada penyelesaian masalah ekonomi Melayu.

Abdullah berkata, orang Melayu lebih gemar berpolitik khususnya untuk mendapat kuasa di dalam parti.

"Oleh itu, mereka berebut-rebut (jawatan), buat fitnah, mengata, mengumpat... semuanya kerana kuasa. Tetapi tidak pula berebut dalam ekonomi," tegas beliau.

Perdana Menteri mengakui bahawa tanpa kuasa politik, orang Melayu tidak boleh maju seperti yang ada sekarang.

Bagaimanapun, tambah beliau, orang Melayu tidak boleh bergantung kepada kuasa politik selama-lamanya.

Katanya, tanpa keupayaan dalam bidang ekonomi, kuasa politik orang Melayu tidak akan kekal selama-lamanya.

"Kalau kuasa politik tidak membawa kejayaan kepada ekonomi, satu hari nanti kuasa politik milik orang Melayu akan hilang.

"Hilang politik kerana tiada ekonomi, sesat politik kerana tiada syariah," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang Melayu supaya bermuhasabah diri, melihat kesilapan yang pernah dilakukan dan meneliti kelemahan yang perlu diperbaiki.

Katanya, kegagalan adalah satu tragedi manakala kekecewaan merupakan pengajaran yang pahit.

"Selama tiga tahun sembilan bulan saya belajar politik setelah tercampak keluar daripada politik. Saya belajar daripada (episod) itu dan sebab itu saya ada di sini (sebagai Perdana Menteri).

"Kita mesti muhasabah diri. Jangan menyalahkan orang kerana agama mengajar kita untuk muhasabah diri," jelas beliau.


Baca Seterusnya!
PEMUDA TEGUR GLC - KHAIRY
KUALA LUMPUR 10 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO terkilan dengan syarikat milik kerajaan (GLC) yang dilihat seperti tidak berminat memperjuangkan agenda ekonomi orang Melayu.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, keadaan itu jelas dibuktikan apabila tidak ada seorang pun di kalangan peneraju tertinggi GLC seperti Penerbangan Malaysia (MAS), Proton dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir ke Kongres Jihad Ekonomi anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem).



Menurutnya, keadaan itu mungkin disebabkan tafsiran GLC bahawa orang Melayu hanya mahukan projek menerusi penganjuran program seperti kongres berkenaan.

"Saya terkilan kerana tidak ada seorang pun ketua eksekutif (CEO) atau pengarah GLC yang meluangkan masa mereka menghadiri program ini.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri ada masa untuk datang merasmikan program ini semalam, tetapi kenapa tidak ada CEO atau pengarah mana-mana GLC yang datang,’’ katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Anjakan Paradigma dan Agenda Melayu’ di sini hari ini.

Kongres dua hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan bagi mencari pendekatan alternatif untuk penyelesaian masalah ekonomi Melayu.

Ketidakhadiran ketua-ketua GLC seperti Proton, Tenaga Nasional Berhad dan Penerbangan Malaysia dibangkitkan sebahagian besar peserta kongres semasa sesi soal jawab.

Mereka mendakwa kegagalan itu jelas mencerminkan bahawa GLC tidak proaktif membantu peniaga Melayu, malah mementingkan keuntungan semata-mata.

Penganjur telah menghantar surat jemputan kepada semua GLC terlibat bagi menghadiri kongres tersebut, namun masing-masing hanya menghantar wakil.

Khairy menambah: "Sekiranya kita mengadakan perbincangan mengenai agenda orang Melayu, ada peniaga Melayu akan hadir dan tentu ada persoalan, oleh itu GLC perlu datang menjawab sendiri, bukan hantar wakil.

"Bukan kita ingin kritik sahaja, ada banyak kritikan bernas dan membina, cuba cari jalan penyelesaian dan kita semua perlu lihat perkara ini dari sudut positif.’’

Bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang pada masa depan, beliau meminta Gabem mengadakan pertemuan khas dengan GLC bersama peserta kongres bagi membincangkan masalah berkenaan.

"Mereka (GLC) tidak serius, ada kalanya mereka ambil tidak endah jika perbincangan melibatkan Dewan Perniagaan Melayu atau orang Melayu sendiri kerana ingat kita ingin projek sahaja, tanggapan ini salah.

"GLC tidak harus memandang rendah kemampuan usahawan Melayu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy menolak dakwaan terlibat dengan individu yang mengaku mewakili beliau meminta wang tunai RM150,000 daripada mana-mana pihak yang berminat berjumpa dengannya untuk mendapatkan projek perniagaan.

"Dakwaan ini tidak benar dan mengarut, tegasnya. (Dipetik dari Mingguan Malaysia)


Baca Seterusnya!
PEMUDA CADANG TUBUH SYARIKAT BEKAL BAHAN BINAAN
Pergerakan Pemuda UMNO dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan sebuah syarikat yang membekalkan bahan-bahan binaan bagi mengelakkan masalah ketirisan kontrak.

Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu perlu ekoran masalah ketirisan kontrak sering berlaku di kalangan kontraktor bumiputera di negara ini.



Beliau berkata, berdasarkan pengamatan sebelum ini, antara masalah ketirisan adalah disebabkan kontraktor bumiputera tidak mampu membeli bahan binaan kerana harganya terlalu tinggi.

"Ini kerana pihak yang menguasai penjualan bahan binaan boleh menetapkan harga mereka sendiri. Tambahan pula negara kita tidak mempunyai syarikat besar milik kerajaan dalam perniagaan itu. Sebenarnya kontraktor kita tersepit," katanya selepas majlis penutup Kongres Jihad Ekonomi anjuran Gabem dan Pergerakan Pemuda UMNO itu.

Katanya, sifat syarikat yang disyorkan penubuhannya itu ialah syarikat tujuan khas dan ia diterajui oleh sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Petronas.

"Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kos bahan binaan dianggarkan RM100 bilion. Nilainya amat besar, oleh itu kerajaan perlu segera menubuhkan sebuah syarikat untuk membekal bahan binaan ini.

"Penubuhannya bukan untuk bersaing tetapi sebagai pelengkap sekali gus menstabilkan harga bahan binaan di negara ini," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil perhatian syor itu kerana ia salah satu isu paling hangat dibincangkan dalam kongres berkenaan.

"Dalam resolusi kongres yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ia turut mengandungi perkara tersebut. Ini masalah serius dan ia perlu diatasi segera demi masa depan kontraktor bumiputera kita," tambahnya.


Baca Seterusnya!
PERHEBAT BANTU EKONOMI MELAYU - HISHAMMUDDIN
KUALA LUMPUR 10 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO mahu gerakan meningkatkan ekonomi orang Melayu diperhebatkan lagi kerana tempoh Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020 semakin dekat.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pemuda khuatir jika perkara itu tidak diambil perhatian sewajarnya orang Melayu akan terus ketinggalan walaupun pada ketika itu Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara maju.




"Dalam tempoh tidak sampai 15 tahun lagi, kita sebenarnya tidak banyak masa untuk menggerakkan usaha meningkatkan ekonomi orang Melayu. Mahu tidak mahu semua pihak perlu menggemblengkan tenaga.

"Jika tidak, orang Melayu nanti akan terus ketinggalan. Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Apa yang kita mahukan ialah orang Melayu mesti maju sejajar dengan kemajuan negara pada tahun tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Kongres Jihad Ekonomi yang bertemakan ‘Menerajui penghijrahan minda bangsa Melayu’ di sini, hari ini.
Kongres dua hari itu dianjurkan oleh Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Pergerakan Pemuda UMNO dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Dalam pada itu Hishammuddin berkata, perkataan jihad pada kongres itu mampu menyedarkan masyarakat Melayu bahawa Islam menuntut penganutnya maju termasuk dalam bidang ekonomi.

"Sekurang-kurangnya dengan perkataan jihad orang kita akan lebih sedar pentingnya usaha untuk memajukan diri. Yang jelasnya ia bukan sahaja saranan daripada kerajaan tetapi agama juga turut menuntut kita mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang.

"Saya yakin jika perkataan jihad ini dihayati sepenuhnya, kongres yang diadakan ini mampu memberi satu impak dalam usaha kita memajukan orang Melayu," ujarnya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Hishammuddin berkata, Pemuda dan Gabem akan terus menjalin kerjasama khususnya yang berkaitan ekonomi orang Melayu.


Baca Seterusnya!
GABEM KAGUM USHA KOPERASI UKHWAH BHD

SHAH ALAM 11 Mac – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) bangga dengan usaha Koperasi Ukhwah Berhad yang menaja seramai 25 pelajar cemerlang untuk mengikuti lawatan sambil belajar ke Korea Selatan dan Vietnam melalui ‘Program ke Arah Melahirkan Bangsa Glokal.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Koperasi Ukhwah ini merupakan menifestasi sebuah koperasi orang Melayu yang ingin dilahirkan melalui Gabem. Apatah lagi segala perbelanjaan lawatan pelajar ini ditanggong sepenuhnya oleh koperasi dengan tidak memerlukan sumbangan pihak lain.


Sebahagian daripada pelajar yang terpilih untuk mengikuti lawatan sambil belajar ke Korea Selatan dan Vietnam di bawah Program Ke Arah Melahirkan Bangsa Glokal

Tan Sri Rahim dan Dato Rahim Baba (kanan) Pengerusi Koperasi Ukhwah Bhd bersama cek tajaan untuk program tersebut

Beliau juga memuji komitmen Koperasi Ukhwah dalam usahanya melahirkan pelajar-pelajar yang berpengetahuan global dari kalangan anak-anak anggotanya sendiri.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program tersebut di Shah Alam

Sementara itu, kesemua pelajar berusia 13 hingga 17 tahun itu merupakan anak-anak anggota Koperasi Ukhwah dari seluruh negara yang berpendapatan rendah dan pelajar luar bandar yang dicadangkan oleh Puteri UMNO.

Menurut Yang Dipertua Koperasi Ukhwah, Datuk Rahim Baba, program kali pertama yang dianjurkan dengan kerjasama Puteri UMNO ini bertujuan untuk melahirkan anak bangsa yang berfikiran terbuka dan global.

Beliau berkata, sebanyak RM80,600 telah dikeluarkan oleh Koperasi Ukhwah untuk menjayakan program lawatan itu yang bermula esok hingga 17 Mac dan destinasi pertama ialah Seoul, Korea Selatan dan Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

"Koperasi akan menanggung 100 peratus perbelanjaan lawatan kali ini dan lawatan-lawatan seterusnya yang akan diadakan pada musim cuti sekolah setiap tahun dan Puteri UMNO akan bertindak sebagai pengendali.

"Lawatan-lawatan yang akan diadakan dibahagikan kepada dua iaitu Lawatan Dari Desa ke Kota yang melibatkan lawatan dari pedalaman ke ibu negara dan Lawatan dari Malaysia ke Antarabangsa yang akan dibuat ke negara-negara Islam dan negara maju," katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Tiket Penerbangan Program ke Arah Melahirkan Bangsa Glokal di sini, hari ini.

Sementara itu di Ipoh, pelajar terbaik Orang Asli dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2006, Nurul Atikah Kamaruddin, 16, akan menyertai rombongan ke Korea dan Vietnam itu.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (Seratas), Taiping itu menjadi wakil tunggal Perak.

Ketua Puteri UMNO negeri, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin berkata, Nurul Atikah satu-satunya pelajar Orang Asli yang terpilih.

Katanya, peserta rombongan akan dibawa melawat sekolah-sekolah dan tempat bersejarah di Korea dan Vietnam bagi memberikan mereka pendedahan, pengalaman serta ilmu pengetahuan tentang budaya negara lain.

"Kami dah uruskan semua persiapan dan pengangkutan Nurul Atikah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia hanya perlu bawa dirinya,” katanya

Terdahulu, Dr. Wan Norashikin mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali menyampaikan sumbangan wang saku serta kelengkapan termasuk pakaian dan beg mengikuti program lawatan tersebut di rumah Nurul Atikah di Kampung Chenein di Sungai Siput petang semalam.

Sementara itu, Nurul Atikah berkata, dia sangat gembira dan bersyukur kerana menjadi satu-satunya Orang Asli dari kampungnya yang dapat peluang pergi ke luar negara.


Baca Seterusnya!
GLC - PENGGERAK AGENDA MELAYU - KHAIRY JAMALUDDIN
SEJAK kebelakangan ini, hal-hal mengenai syarikat milik kerajaan (GLC) begitu hangat diperbincangkan dalam media-media tempatan. Namun, apa yang menghairankan, publisiti muka hadapan tidak pula mengetengahkan kejayaan cemerlang mereka seperti keberkesanan transformasi, peningkatan keuntungan ataupun kejayaan GLC bertapak, mencari ruang dan merebut peluang di luar negara.

Sebaliknya, apa yang dipaparkan lebih tertumpu kepada berita-berita negatif yang mungkin menyebabkan sesetengah ketua GLC ini, merah telinga dan panas punggungnya. Keretakan hubungan GLC dengan Komuniti Usahawan Bumiputera begitu hangat diperkatakan. Namun, adakah ia benar?

Enigma gergasi GLC ini perlu diselidik, dirungkai dan diperjelaskan dengan menyeluruh.

"Keluhan-keluhan yang didengar di Persidangan GABEM seperti kes seorang ketua pegawai eksekutif GLC yang mengatakan beliau “tidak peduli” kepada nasib seorang vendor bumiputera, menyebabkan umum membentuk tanggapan mereka terhadap ketua-ketua GLC" Khairy Jamaluddin

Mengapa GLC tidak boleh lari dari disentuh dalam apa jua perbincangan mengenai ekonomi negara? Kenapa setiap tindakan kepimpinan GLC diperhati dan hangat diperkatakan? Mana mungkin tidak. Bukankah GLC menyumbang kepada RM295 bilion ataupun 36% modal saham Bursa Malaysia, 41% Indeks Komposit Kuala Lumpur, lebih kurang 3% dari guna tenaga Malaysia, 7% daripada gaji guna tenaga seluruh ekonomi Malaysia? GLC juga terlibat secara langsung dalam industri strategik seperti tenaga, telekomunikasi dan kewangan. Mana mungkin gergasi sebegini terlepas dari pandangan.

Kerajaan sedar peranan besar GLC dalam konteks pembangunan negara. Prestasinya yang tidak begitu baik dibangkitkan dan mendapat perhatian Perdana Menteri pada tahun 2004. Hasilnya, “Putrajaya Committee on GLC High Performance” dibentuk pada Januari 2005. Dari saat itu, kerajaan memberikan perhatian yang serius dan penekanan tinggi terhadap tranformasi GLC.

Transformasi GLC telah menjadi teras penting dalam dasar dan falsafah ekonomi Perdana Menteri.

Secara amnya, proses transformasi ini mula memperlihatkan kejayaan awalnya. Kumpulan G-20 iaitu 20 syarikat GLC terbesar, mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 60% pada tahun 2006 berbanding 2005. Kadar pertumbuhan keuntungan yang dicapai oleh Kumpulan G-20 ini lebih terserlah kerana kadar pertumbuhannya empat kali ganda lebih banyak berbanding pertumbuhan keuntungan pasaran am. Jika dilihat secara terperinci, banyak kejayaan awal yang dicatatkan.

MAS misalnya, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM240 juta setelah “turnaround plan” mereka dilancarkan Februari tahun lalu. Begitu juga peningkatan produktiviti. ‘Oil extraction rate’ atau kadar pengeluaran minyak kelapa sawit yang dicatatkan oleh Golden Hope misalnya, mencatatkan kadar 21.5%, satu peningkatan berbanding purata industri iaitu pada kadar 19.5%.

Gergasi korporat yang mempunyai pegangan dan memikul tanggungjawab sebegini besar seharusnya membuktikan bahawa ia juga adalah jaguh terbaik di kalangan sektor korporat; bukan di takuk kelas kedua, jauh sekali kelas ketiga. GLC juga tidak boleh lagi setakat menjadi “jaguh kampung”, gagah di negeri sendiri tetapi tenggelam dalam persaingan global.

Urus niaga di peringkat global seperti yang ditunjukkan oleh TM dengan pembelian PT Excelcomindo di Indonesia, MobileOne di Singapura dan Multinet di Pakistan perlu dijadikan contoh. Langkah CIMB meluaskan sayapnya dengan mengambil alih beberapa syarikat kewangan di Singapura, Thailand, Indonesia dan Bahrain juga perlu dijadikan teladan.

Namun perlu diingat bahawa melangkah ke luar negara bukanlah ibarat rusa masuk kampung, tercangak-cangak tanpa hala tujuan. Melangkah ke arena global adalah langkah bermatlamat. Bukan sekadar ingin mengibar Jalur Gemilang tetapi menjadi pelabur bijak yang disegani, pulang membawa hasil. Apa yang hendak dibangga dengan pelaburan di luar jika tidak membawa untung. Dalam konteks ini, Sime Darby boleh dijadikan contoh di mana hampir 45% keuntungannya diperoleh daripada pelaburan dalam sektor mesin berat di Queensland, Australia.

Namun, apa yang lebih membanggakan sebenarnya ialah majoriti daripada ketua GLC yang berjaya merekodkan perubahan besar yang cemerlang ini terdiri daripada bumiputera. Kita tidak ketandusan Melayu yang bijak, berwibawa dan berkebolehan.

Ketua-ketua GLC bumiputera ini juga menyumbang dengan besar dari aspek pembangunan modal insan bumiputera di GLC masing-masing. Khazanah Nasional Berhad yang dahulunya sinonim sebagai majikan kepada bekas-bekas pegawai sektor awam, kini mampu menarik minat para profesional industri daripada pelbagai bangsa, yang sedang berada dalam kemuncak kerjaya untuk menyertainya.

Persoalannya, adakah pencapaian ini memadai dari konteks perjuangan Agenda Melayu yang diharapkan melalui proses tranformasi ini?

Dasar kerajaan menswastakan GLC pada tahun 80-an adalah untuk meningkatkan kecekapan, memperkukuhkan budaya kerja dan memupuk GLC untuk lebih berdaya saing. Jika dahulu, kerajaanlah pemilik penuh syarikat-syarikat ini.

Kini, dengan inisiatif penswastaan melalui penyenaraian saham di Bursa Malaysia, syarikat- syarikat ini tidak boleh mengelak daripada memberikan perhatian kepada stakeholders yang lain yakni para pelabur baik tempatan mahupun asing, institusi ataupun kecil (retail).

Pemilik-pemilik baru GLC ini hanya akan melaburkan wang mereka pada saham syarikat yang dapat menghasilkan keuntungan yang berterusan.

Keuntungan berterusan akan menjanjikan pelabur dengan kenaikan harga saham syarikat tersebut sekali gus membolehkan pelabur menjual dan mendapat keuntungan. Jika tidak dijual sekalipun, dividen akan diperoleh. Keuntungan juga merupakan penentu kepada kenaikan gaji dan bonus kakitangan GLC, sekali gus menjadi pemangkin untuk mereka lebih produktif dan berusaha lebih gigih.

Realitinya, keuntungan itu adalah keperluan asas dalam kewujudan mana-mana syarikat sekalipun. GLC pastinya tidak terkecuali. Dan oleh kerana GLC merupakan sebahagian besar daripada modal pasaran atau market capitalization Bursa Malaysia, prestasi syarikat-syarikat ini boleh membawa kesan yang besar kepada sentimen pasaran umum.

Walau bagaimanapun, majoriti pemilikan GLC tetap di tangan kerajaan. Oleh yang demikian, GLC tetap bertanggungjawab kepada pemegang kepentingan dan pemiliknya yang utama iaitu kerajaan. Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia di Perhimpunan Agung UMNO sudah pun menyatakan bahawa GLC perlu prihatin kepada pelaksanaan dan pencapaian Agenda Melayu dan tugas-tugas sosioekonomi yang lain.
Ini kerana Agenda Melayu merupakan satu Misi Nasional kerajaan. Antara aspek-aspek yang diberikan perhatian ialah program pembangunan vendor dan perolehan GLC yang berpotensi untuk diperbaiki agar dapat memberi lebih banyak peluang kepada syarikat bumiputera yang berkebolehan dan kompetitif.

GLC juga diberi tanggungjawab untuk memberikan peluang baru kepada usahawan bumiputera. GLC turut diamanahkan untuk membangunkan modal insan melalui pemberian biasiswa terutamanya pada sektor pengurusan.

Walaupun dengan adanya iltizam politik yang sebegini tinggi, mengapakah masih banyak desas-desus yang menzahirkan keraguan sesetengah pihak terhadap transformasi GLC ini terutamanya dalam aspek pelaksanaan Agenda Melayu? Dari Perhimpunan Agung UMNO ke Persidangan Jihad Ekonomi anjuran GABEM, ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan cara GLC menatang pelaksanaan Agenda Melayu.

GLC tentu menjawab bahawa ia telah memainkan peranan. Sebagai contoh, TM boleh menjelaskan bahawa ia melaksanakan Program Jadual Kadar Harga Kerja sejak 1970 lagi di mana kerja-kerja sivil yang bernilai lebih RM158 juta pada tahun 2005 disertai oleh 100% syarikat bumiputera. Antara program TM yang berteraskan bumiputera lain ialah Program Pemerolehan Pembekal bumiputera, di mana 72% daripada kontrak pembekalan diberikan kepada usahawan bumiputera.

Namun, adakah itu memadai? Jikapun itu memadai, bagaimana dengan GLC-GLC lain? Adakah mereka juga melaksanakan tanggungjawab? Ibarat kata pepatah, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang?

Ada yang berpendapat bahawa syarikat-syarikat kecil bumiputera masih belum mendapat peluang yang saksama sebagai vendor dan pembekal. Pada mereka, realiti dunia korporat yang mengutamakan keuntungan sebagai penanda aras kejayaan menyebabkan syarikat kecil bumiputera ditolak atas alasan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan efisiensi.

Justeru itu, dalam menangani keresahan syarikat kecil bumiputera, harapan yang besar diletakkan kepada Jawatankuasa Putrajaya yang mengemukakan “Red Book”. Antara lain bagi meningkatkan penyertaan bumiputera di GLC dan membangunkan vendor tulen bumiputera sejajar dengan halatuju kerajaan. “Red Book” ini juga menekankan keperluan pembentukan Program Pembangunan Vendor Bumiputera yang sepadu dan meyeluruh di setiap GLC. Namun yang demikian, pelaksanaan inisiatif ini perlulah luhur, telus dan komprehensif agar matlamat inisiatif ini benar-benar tercapai.

Kedua, ramai yang khuatir jika GLC bertempur di medan perang yang sama dengan syarikat kecil dan sederhana bumiputera. Ramai yang melahirkan kebimbangan mereka, takut-takut kerja subkontrak projek gergasi kerajaan seperti Jambatan Pulau Pinang kedua hanya jatuh ke riba anak-anak syarikat GLC. Justeru itu, perlu ada penglibatan serius daripada usahawan bumiputera dalam perancangan perolehan kontrak.

Begitu juga dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), yang dijangka menarik pelaburan sebanyak RM47 bilion. Dalam kita menaruh harapan di atas kejayaan pakej insentif demi pembangunan WPI, harapan yang besar juga diletakkan di atas Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar supaya dapat menggubal dan mengemukakan insentif dan halatuju yang jelas bagi penyertaan dan peranan syarikat bumiputera.

Adakah mungkin semua masalah ini berpunca daripada proses komunikasi yang kurang berkesan?

Adakah mungkin peluang-peluang ini sememangnya telah tersedia tetapi tidak dimaklum atau dipasarkan dengan berkesan oleh GLC sehingga membawa kepada persepsi-persepsi yang disebutkan tadi?

Keluhan-keluhan yang didengar di Persidangan GABEM seperti kes seorang ketua pegawai eksekutif GLC yang mengatakan beliau “tidak peduli” kepada nasib seorang vendor bumiputera, menyebabkan umum membentuk tanggapan mereka terhadap ketua-ketua GLC.
Beberapa GLC telah mengambil langkah positif dengan mewujudkan unit penyertaan bumiputera.

Di bawah unit ini, beberapa orang pegawai dipertanggungjawabkan untuk memastikan peluang yang ada diuar-uarkan dengan berkesan, melalui rangkaian yang betul agar tiba kepada golongan sasarannya dengan cepat dan berkesan.

Pada masa yang sama, keluhan yang dimajukan tidak setakat didengari tetapi dihalusi dan diselesaikan dengan segera. Langkah ini harus dicontohi dan jika perlu, dipertingkatkan agar proses komunikasi berjalan dengan lebih lancar.

Mungkin rasa tidak puas hati ini lahir kerana kurang prihatinnya ketua-ketua GLC terhadap nasib usahawan bumiputera. Jika dilihat semasa Persidangan GABEM baru-baru ini, ramai usahawan bumiputera terkilan kerana empat daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC yang dijemput, tidak dapat hadir.

Walaupun dua daripada mereka menjadi sebahagian daripada delegasi rombongan Timbalan Perdana Menteri ke luar negara, rasa terkilan ini bertambah, ibarat luka disimbah cuka, apabila Program Invest Malaysia baru- baru ini yang melibatkan para penganalisis, pengurus dana dan pegawai-pegawai bank pelaburan antarabangsa melihatkan kehadiran hampir kesemua CEO GLC.

Maka timbullah persoalan. Jika program GABEM yang lahir daripada iltizam politik UMNO dan dihadiri semua pucuk pimpinan UMNO tidak mampu menarik kehadiran CEO GLC, program apa lagikah yang mungkin mampu menarik perhatian mereka?

Apakah tiada titik tengah dalam cabaran untuk mengimbangi keuntungan dan pelaksanaan Agenda Melayu? Apa pun, usahawan-usahawan bumiputera dan para pengkritik GLC perlu berlaku adil dan memahami kedudukan GLC yang bertanggungjawab mewujudkan nilai bagi pelabur yang memegang saham mereka? Tiada keuntungan bermakna tiadalah pelabur dan tanpa pelabur, tiadalah dana. Jika situasi ini berlaku, institusi kewangan pun tidak sudi memberikan pinjaman.

Jika inilah keadaannya, secara tidak langsung lenyaplah peluang dan ruang yang dapat diberikan kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana bumiputera.

Jika GLC wujud untuk melaksanakan tanggungjawab sosioekonomi semata-mata, tanpa mengambil kira keuntungan atau nilai saham mereka, lebih baik disyorkan kepada kerajaan untuk mengambil alih aset mereka dan gugurkan penyenaraian mereka dari papan-papan BSKL.

Namun langkah sedemikian begitu jauh tersimpang daripada objektif pembangunan negara dan apakah mesej yang akan disampaikan kepada pelabur, terutamanya pelabur antarabangsa?

Objektif untuk menghasilkan syarikat GLC bertaraf dunia yang dapat menjana lebih banyak syarikat usawahan Melayu juga lebih baik dilupakan sahaja.

Jalan penyelesaiannya banyak bergantung kepada kebolehan GLC untuk mengimbangi tuntutan urus niaga dan juga matlamat Agenda Melayu dengan bijak. GLC harus terus memberikan peluang dan ruang untuk syarikat bumiputera bergerak. GLC perlu bijak menonjolkan kewujudan ruang dan peluang ini. Platform-platform komunikasi yang cepat dan berkesan perlu dibina.

Pada masa yang sama, mereka perlu sedar bahawa amat penting untuk mereka memperuntukkan masa dan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada usahawan bumiputera dengan menghadiri perjumpaan yang membincangkan Agenda Melayu seperti program GABEM.

Jika kesinambungan ini dapat diwujudkan dan dijalinkan dengan baik, proses pembangunan ekonomi negara pastinya akan dapat berjalan dengan lebih baik seiring, dengan penghasilan syarikat GLC yang bertaraf dunia yang disokong oleh rangkaian syarikat kecil dan sederhana bumiputera yang suatu hari nanti juga akan dapat bersaing di persada korporat dunia.

- PENULIS ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.(Di petik dari Utusan Malaysia)

Baca Seterusnya!
GABEM DIISTIHAR SEBAGAI SAYAP EKONOMI UMNO - NAJIB
SHAH ALAM 14 April 2007 – Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najib Tun Razak mengistiharkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) sebagai sayap ekonomi UMNO yang akan bekerjasama dengan pemimpin politik, pegawai kerajaan, usahawan dan badan bukan kerajaan (NG0) Melayu untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi bumiputera.

Menurut Timbalan Perdana Menteri ada dua perkara kita perlu meningkatkan ekonomi kita. Pertama, kita sebagai peneraju politik negara.

Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ketika berucap merasmikan Gabem Negeri Selangor

Pengiktirafan Gabem sebagai sayap ekonomi UMNO adalah kemenangan awal pada perjuangan UMNO untuk memartabatkan ekonomi orang-orang Melayu - Tan Sri Rahim Tamby Chik

‘‘Tidak guna kedudukan kita hebat tetapi ekonomi tidak tegap, nanti orang akan mempersoalkan kewibawaan kita,” katanya.

Perkara kedua, kata Najib, Malaysia hanya mempunyai 13 tahun lagi untuk mencapai matlamat menjadi negara maju.

"Kita sedar Lembah Klang dan Selangor menjadi nadi ekonomi negara. Kita berharap usahawan di sini akan menyumbang kepada pencapaian keseluruhan untuk menjadikan Malaysia negara maju," tambahnya

Najib berkata demikian ketika berucap melancarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Selangor, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo; Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, usahawan Melayu juga terlalu tertumpu kepada satu bidang terutamanya pembinaan untuk menjana kekayaan.

"Bila kita ada Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), semua hendak bina kem PLKN. Kita mempunyai kira-kira 46,000 kontraktor Kelas F iaitu yang terbanyak di dunia.

"Mereka ini hanya tumpu pada pembinaan tetapi tidak mahu menceburi bidang perniagaan baru yang jarang diceburi oleh usahawan Melayu," katanya.

Di majlis itu juga ADUN Batu Tiga YB. Dato’ Salamon Selamat di lantik sebagai Pengerusi Gabem Negeri Selangor

Sebahagian daripada tetamu yang hadir


Dato Seri Mohd Najib, Menteri Besar Selangor Dato' Seri Mohd Khir Toyo dan Tan Sri Rahim bergambar bersama barisan pimpinan Gabem Selangor


Baca Seterusnya!
GABEM SEDIA SELESAI MASALAH USAHAWAN MELAYU SURIA - RAHIM

PULAU PINANG 29 April – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) bersedia membantu menyelesaikan masalah usahawan bumiputera yang menghadapi kesukaran mengendalikan perniagaan mereka dengan mana-mana pihak dengan syarat mereka menjadi ahli gabungan persatuan itu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, Gabem bersedia bertindak sebagai orang tengah menyelesaikan masalah yang dihadapi usahawan bumiputera termasuk dalam bidang perniagaan.

“Kita sedar ada beberapa usahawan bumiputra menyatakan kesulitan mereka dalam akhbar kerana mendakwa ‘ditindas’ oleh pemilik kompleks membeli-belah di ibu negara.

"Namun, apa yang kita mahu ialah biar mereka tampil dengan apa jua bukti bagi membolehkan kita berjuang untuk mereka.

"Kita tidak mahu nanti mereka datang dengan pelbagai masalah yang disebabkan oleh mereka sendiri seperti masalah peribadi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat gerak kerja pilihan raya peringkat negeri Pulau Pinang di sini semalam.

Abdul Rahim mengulas kesulitan dihadapi oleh usahawan bumiputera yang beroperasi di Suria KLCC.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, Gabem bersedia menyiasat perkara itu dan jika benar, ia berjanji akan memperjuangkan isu tersebut sehingga selesai.

Menurutnya, Gabem lebih selesa memperjuangkan isu-isu berkaitan masalah usahawan Melayu jika mereka menjadi ahli mana-mana gabungan di bawah Gabem.

Dalam hubungan ini, beliau mengakui wujudnya diskriminasi terhadap usahawan Bumiputera yang beroperasi di pusat-pusat membeli-belah di ibu negara terutama membabitkan pembahagian lot-lot kedai strategik.

Sambil mengakui masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama, beliau berkata, beberapa pendekatan sedang dikaji bagi membolehkan usahawan Bumiputera mampu bersaing secara adil dengan usahawan kaum lain.

Baca Seterusnya!
LANGKAH PATRIOTIK MAYBANK HARUS DICONTOHI - RAHIM
KUALA LUMPUR 11 Mei – Kepimpinan UMNO meminta Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengekalkan keputusan asal mengenakan syarat pemilikan 50 peratus kepentingan bumiputera dalam firma-firma guaman yang mahu menjadi panel bank tersebut.

Mereka menyifatkan pendirian bank terbesar negara itu sebagai satu tindakan munasabah bagi memastikan wujud perkongsian adil antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, Maybank sebenarnya telah memulakan langkah patriotik yang harus dicontohi oleh institusi-institusi perbankan lain.




‘‘Niat baik bank itu untuk mewujudkan perkongsian pintar antara bumiputera dan bukan bumiputera telah disalah tafsir oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Syarat baru bank itu berhubung ekuiti panel peguam boleh memperbetulkan kedudukan bumiputera sendiri di samping membantu kemajuan negara," katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Beliau menambah, langkah bank itu turut dilihat dapat meningkatkan taraf ekonomi bumiputera yang agak rendah jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain.


Baca Seterusnya!
USAHAWAN GAGAL HAYATI ASPIRASI MELAYU GLOKAL DI BIDAS
TEMERLOH 14 Mei - Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik membidas sikap usahawan Melayu yang gagal menghayati aspirasi kerajaan dalam membina masyarakat Melayu glokal dan terbilang.


Tegas beliau, amalan negatif usahawan Melayu yang mahu cepat kaya dengan menggadai projek kepada pihak lain menyebabkan berlaku banyak ketirisan yang menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu ditangani.

Katanya, amalan sesetengah usahawan yang hanya menjadi perantara untuk mendapatkan projek kerajaan malah sanggup menjadi kuda tunggangan pihak lain juga menjatuhkan maruah bangsa.

"Penubuhan Gabem hasil komitmen dan keprihatinan Majlis Tertinggi UMNO membuktikan bahawa semua kerenah usahawan Melayu yang mahu cepat kaya perlu ditangani dengan bijaksana dan berfokus.

"Gabem bertanggungjawab memastikan orang Melayu tidak dibelenggu dengan minda subsidi, sebaliknya bersaing merebut peluang ekonomi," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penutupan Simposium Keusahawanan Gerakniaga Wanita 2007 anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Temerloh di Dewan Tun Razak di sini malam tadi.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd. Sarit Yusoh; Exco Kerajaan Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Samsudin; Ahli Dewan Undangan Negeri Semantan, Datuk Hamdan Sudin dan Senator Siti Rokiah Zabidin.

Abdul Rahim berkata, walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah telah menyalurkan peruntukan besar dalam usaha membina usahawan Melayu unggul, tetapi sikap buruk usahawan Melayu membantutkan usaha murni itu.

"Usahawan Melayu harus mempamerkan kredibiliti dan keupayaan tinggi dalam sektor ekonomi supaya mereka boleh dijadikan model kepada usahawan baru untuk bersaing dalam perniagaan," katanya.


Baca Seterusnya!
GABEM AKAN JALIN KERJASAMA DENGAN NEGARA ANGGOTA OIC

Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan menjalin hubungan dengan negara-negara anggota OIC dalam usaha membantu negara anggota OIC, kerjasama tersebut juga secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan ekonomi orang Melayu.

Beliau yang baru pulang daripada bertemu dengan para pemimpin Dewan Perniagaan Melayu Brunei (DPMB) di Bandar Seri Begawan berkata, pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk mengenai kepentingan ekonomi orang Melayu.

Susulan daripada pertemuan tersebut, katanya, satu memorandum persefahaman (MOU) akan dimeterai antara Gabem dan DPMB.

"Menerusi MOU itu, kita bersetuju bekerjasama dan bertukar-tukar fikiran serta projek antara kedua-dua belah pihak.

"Sebuah konsortium juga bakal ditubuhkan antara GABEM dan DPMB dalam masa terdekat ini bagi memudahkan lagi perkongsian strategik tersebut," katanya.

Menurut Rahim, GABEM juga merancang mengadakan pertemuan yang sama dengan Dewan Perniagaan Melayu Singapura dan Dewan Perniagaan Melayu Indonesia.

"Mungkin mereka kekurangan modal, ketiadaan tenaga pakar, sistem perbankan yang tidak cekap serta taraf pendidikan yang rendah.

"Jadi untuk tujuan itu, Gabem akan menyelaraskan usaha memajukan negara anggota OIC bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi OIC," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil Kursus Usahawan Tani Penanaman Cendawan di Dewan Persatuan Peniaga dan Usahawan Melayu Malaysia (PPUMM) di sini semalam.

Seramai 80 ahli PPUMM dari seluruh negara mengikuti kursus selama sehari itu yang dianjurkan oleh persatuan itu dengan kerjasama Jabatan Pertanian.


Baca Seterusnya!
GABEM TUBUH JAWATANKUASA TANGANI KETIRISAN PROJEK


KUALA LUMPUR 14 Feb. – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani ketirisan projek membabitkan kontraktor bumiputera.


Baca Seterusnya!
USAH TERTIPU TAKTIK PEMBANGKANG HASUT PENGUNDI

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Para pengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam diminta supaya tidak tertipu dengan taktik pembangkang yang cuba menghasut mereka jangan keluar mengundi pada pilihan raya berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Rahim Tamby Chik menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai satu perbuatan tidak bertanggungjawab.
Katanya, beliau percaya dan yakin pengundi di DUN Batu Talam tidak mudah terpedaya dengan helah parti pembangkang itu.

"Saya yakin pada pilihan raya ini kemenangan tetap akan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN). Ini kerana di sekitar Batu Talam terdapat banyak kawasan Felda.

"Seperti yang kita semua ketahui, Felda merupakan lambang kejayaan kerajaan BN. Ia (Felda) merupakan sejarah pembangunan ekonomi orang-orang Melayu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada pilihan raya DUN Batu Talam, 28 Januari ini, calon BN, Abd. Aziz Mat Kiram akan dicabar oleh calon Bebas, Ng Chee Pang.

Rahim yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) berkata, berdasarkan pemerhatian, beliau mendapati pengundi di kawasan tersebut tidak menghiraukan segala taktik pembangkang.

"Pengundi yakin dengan kerajaan BN yang sentiasa berusaha mempertingkatkan kehidupan mereka dari semasa ke semasa,’’ katanya.

Beliau menyeru pengundi DUN Batu Talam supaya keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat negara ini.

"Kita mesti menunaikan tanggungjawab kita untuk keluar mengundi. “Nasihat saya cuma jangan kita mempercayai apa yang pihak pembangkang cakap pada setiap kali pilihan raya," katanya.

Baca Seterusnya!
Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram
Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram Ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.

Doa awal tahun
Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agung dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekelian kuncunya, tenteranya dan penolongnya.

Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong kearah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.

Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam…Amin

Waktu Membacanya…Doa ini dibaca 3 kali setelah masuk waktu Magrib pada malam 1 Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, ‘Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan.’

Baca Seterusnya!
SINGGAH SEPETANG DI KAMPONG SUNGAI WANGI
LUMUT, 24 Disember 2006 – Meskipun kehadiran Tan Sri Rahim Tamby Chik selaku Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) petang itu ke Lumut bagi majlis perasmian Kursus Penanaman Cendawan anjuran Persatuan Peniaga dan Usahawan Melayu Malaysia di Setiawan, namun kehadiran beliau sudah di kesan terlebih awal oleh Ketua UMNO Bahagian Lumut Dato’ Dr Zambre Abdul Kadir yang terus menyesuaikan satu program bagi menjemput Tan Sri Rahim.

Kedatangan Tan Sri Rahim disambut penuh mesra oleh ahli-ahli UMNO dan penduduk Kampong Sungai Wangi. Makanan petang yang sedia terhidang dengan semua pimpinan cawangan hadir, bagaikan kenduri kampong gayanya pada petang itu. Terima kasih Dato' Dr..


Dato' Dr. Zambre dari Ketua Pemuda, kemudian Ketua Bahagian Lumut dan ADUN Pangkor serta Exco Kerajaan Negeri...hari ini meniti susun jalur kepimpinan Umno. Selamat berjuang Dato'...

Pemenang sudah diketahui melalui ikan yang merentap joran. Pelapis kecil Umno ini juga mungkinkah salah seorang daripada pemenang.

Tan Sri Rahim kagum dan bangga melihat perpaduan Umno terus kukuh dan ahli-ahli Umno di peringkat cawangan masih terus menjadi tunjang kepada kekuatan Umno secara keseluruhannya

Sudah pasti adik kecil ini salah seorang daripada pemenang pertandingan memancing. Namun bukan kemenangan itu yang diharapkan oleh Dato Dr Zambre tetapi penerimaan adik kecil ini membayangkan penerimaan generasi pelapis terhadap Umno.

Tan Sri Rahim dan Dato Dr. Zambre bergambar kenangan dengan para pemenang pada petang itu


Majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) dan UMNO Cawangan Kampong Sungai Wangi kelihatan meriah petang itu dengan kehadiran Tan Sri Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Bertempat di Dataran Kampong Sungai Wangi, kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampong dan peserta pertandingan. Kemesraan sebuah keluarga UMNO amat terasa hinggakan sukar untuk kita merasa terasing meskipun berada di tempat orang.

Dato’ Dr. Zambre yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak awal-awal lagi menunggu kami di persimpangan jalan masuk ke Dataran Kampong Sungai Wangi dan seterusnya dirai dengan jamuan petang yang enak.

Ketika diminta berucap di majlis serba ringkas tetapi penuh bermakna itu, Tan Sri Rahim tidak dapat menyembunyikan nostalgianya ketika menjadi Ketua Menteri Melaka dahulu bila melihat keakraban orang kampong Sungai Wanig menyambut dan merai beliau serta program yang dianjurkan.

Katanya, Umno sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Melayu. Ini dapat dilihat daripada suasana kehidupan masyarakat Melayu.

“Kalau nak buat kenduri kahwin, jawatankuasa Umno cawangan akan dibawa berbincang. Kalau ada kematian begitu juga malah hinggakan kepada majlis berkhatan pun umno cawangan akan dilibat.”

“Umno di peringkat cawangan adalah akar umbi kekuatan orang-orang Melayu. Oleh itu jangan sisihkan Umno dalam segala urusan terutama bila melibatkan komuniti masyarakat di kampong”.

“Di peringkat kampong, kita tak ada Ngo’s atau persatuan lain melainkan Umno dan disetengah-tengah tempat persatuan beliau. Namun persatuan belia itu sendiri dipimpin oleh orang yang ada pertalian dengan Umno.” tegasnya

Katanya, beliau merasa bangga bila melihat keakraban dan perpaduan yang ditunjuk oleh umno peringkat cawangan melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Jelasnya lagi, beliau bersedia untuk hadir lagi jika dijemput dalam mana-mana program Umno meskipun di peringkat cawangan.

Sementara itu dalam ucapannya Dato’ Dr. Zambri membayangkan beginilah cara hidup mereka menjaga dan memimpin Umno diperingkat bahagian dan cawangan, apatah lagi Umno di kawasan luar bandar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor berkata, beliau bersetuju dengan Tan Sri Rahim bahawa budaya hidup orang Melayu sudah sebati dengan Umno. Ini dapat ukur melalui perpaduan dan keakraban dalam masyarakat Melayu.

“Apa sahaja aktiviti masyarakat Melayu sudah menjadi aktiviti Umno, begitu juga sebaliknya. Inilah kekuatan dan perpaduan dalam keluarga Umno” jelasnya



Baca Seterusnya!
GABEM BANGGA PENCAPAIAN PERSATUAN PENIAGA DAN USAHAWAN MELAYU MALAYSIA (PPUMM)
"Saya akan menyebut dimana-mana saja saya pergi tentang kejayaan dan kegigihan PPUMM. Saya bangga dengan pencapaian PPUMM" Tan Sri Rahim


Sebahagian daripada peserta Kursus Penanaman Cendawan yang dianjurkan oleh PPUMM

Tan Sri Rahim menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta kursus

Sijil kursus disampaikan oleh Tan Sri Rahim kepada peserta kursus

Peserta kursus, tenaga pengajar dan kepimpinan PPUMM bergambar kenangan bersama Tan Sri Rahim

SETIAWAN, 24 Disember 2006 – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan membantu dan menyokong usaha dan aktiviti persatuan-persatuan peniaga Melayu sedia ada dalam berbagai bidang sehingga berjaya melahirkan lebih ramai lagi usahawan Melayu yang berjaya. Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Katanya, kewujudan Gabem akan saling lengkap melengkapi antara persatuan usahawan Melayu sedia ada disamping Gabem akan bertindak sebagai pemudahcara kepada persatuan yang ingin mengembangkan lagi aktiviti dan usaha mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Penanaman Cendawan anjuran Persatuan Peniaga dan Usahawan Melayu Malaysia (PPUMM) di Setiawan, Perak.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa kagum dengan pencapaian dan kejayaan yang ditunjukan oleh PPUMM terutama dalam usaha melahirkan usahawan tani bukan sahaja di Perak malah di negara ini. Ini terbukti dengan lahirnya ramai usahawan tani dalam berbagai bidang selaras dengan usaha kerajaan untuk melihat sektor pertanian menjadi penjana ekonomi Negara.

“Saya kagum setelah melihat dengan dekat pencapaian dan kesungguhan PPUMM dalam meneroka bidang pertanian dan Gabem sudah pasti akan turut terlibat membantu apa yang perlu bagi merancakkan lagi penglibatan PPUMM dalam bidang pertanian”. Katanya

Di majlis tersebut Tan Sri Rahim turut menyampaikan sijil dan cenderamata kepada seramai 80 orang peserta kursus yang datangnya dari seluruh negara.


Baca Seterusnya!
PENGERUSI GABEM : KENAPA SAYA PILIH RAHIM TAMBY CHIK - PAK LAH


PULAU PINANG – 2 Disemberi 2006 – Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan beliau memilih Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sebagai pengerusi GABEM (Gagasan Badan Ekonomi Melayu) atas beberapa faktor sedia ada.

Katanya, beliau memilih Rahim Tamby Chik dan tidak tokoh koprat Melayu yang lain atau bekas Menteri untuk mengetuai Gabem disebabkan pertamanya, kagum dengan apa yang dirancang oleh Rahim untuk menggerakan Gabem. Disamping Rahim seorang yang tidak terlalu sibuk dengan tugas lain, tidak terlibat dalam perniagaan yang besar-besar dan yang penting beliau adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa beliau mengambil kira jasa dan peranan Rahim yang terbukti berjaya membangunkan Melaka semasa menjadi Ketua Menteri Melaka dulu sebagai faktor penilaian sedia ada. Disamping Rahim mempunyai pengalaman sebagai Timbalan Menteri dan mempunyai masa untuk menggerakan Gabem.

Menurut Perdana Menteri beliau menjelaskan perkara ini kerana tidak mahu timbul pertikaian kenapa beliau memilih Rahim dan tidak orang lain. Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan penubuhan Gabem peringkat negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang disini.

“Gabem adalah cetusan kehendak Majlis Tertinggi UMNO dan sudah tentu seorang Ahli Majlis Tertinggi perlu mengetuainya, sebab itu saya memilih Rahim” jelas beliau

Katanya, banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Gabem dan beliau berharap Gabem akan berada pada landasan yang betul demi untuk kepentingan ekonomi orang-orang Melayu.


Baca Seterusnya!


Biodata
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email RTC


Pejabat
Suite 30-1, Wisma UOA 11
No. 21, Jalan Pinang
50450 Kuala Lumpur

Tel : 03-2163 4668
Fax : 03-2163 5658
SMS : 019-2010 000


Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Gabem Sana Sini





Akhbar Hari Ini
Pautan