GABEM PANTAU PERBAHASAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO |
Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang ditubuhkan oleh Majlis Tertinggi UMNO akan memantau dan mengawasi sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2006 terutama perbahasan yang berkaitan dengan isu ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, selaras dengan penubuhan Gabem, perhimpunan agung Umno kali ini menjadi medan terpenting bagi Gabem untuk mengumpul segala maklumat yang diangkat oleh perwakilan ke perhimpunan agung.
“Perhimpunan agung Umno menjadi medan penting kerana setiap masalah di peringkat akar umbi diangkat dan dibahaskan di perhimpunan agung.
“Kesempatan ini Gabem akan menghantar para pegawai bagi bertugas sepanjang perhimpunan untuk mencatit dan mengumpul apa sahaja isu yang dibawa terutama sekali isu ekonomi dan masalah orang Melayu yang berkaitan dengan ekonomi” katanya
Menurutnya, segala catatan sepanjang perhimpunan agung akan dianalisa dan seterusnya diserah kepada Majlis Tertinggi Umno sebagai laporan dan analisa dari Gabem.
“Ini penting kerana Gabem juga akan bertindak berdasarkan apa yang dibangkit dan dibahaskan oleh perwakilan sepanjang perhimpunan agung” jelasnya
|
|
|
|













|