
PULAU PINANG – 2 Disemberi 2006 – Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan beliau memilih Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sebagai pengerusi GABEM (Gagasan Badan Ekonomi Melayu) atas beberapa faktor sedia ada.
Katanya, beliau memilih Rahim Tamby Chik dan tidak tokoh koprat Melayu yang lain atau bekas Menteri untuk mengetuai Gabem disebabkan pertamanya, kagum dengan apa yang dirancang oleh Rahim untuk menggerakan Gabem. Disamping Rahim seorang yang tidak terlalu sibuk dengan tugas lain, tidak terlibat dalam perniagaan yang besar-besar dan yang penting beliau adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa beliau mengambil kira jasa dan peranan Rahim yang terbukti berjaya membangunkan Melaka semasa menjadi Ketua Menteri Melaka dulu sebagai faktor penilaian sedia ada. Disamping Rahim mempunyai pengalaman sebagai Timbalan Menteri dan mempunyai masa untuk menggerakan Gabem.
Menurut Perdana Menteri beliau menjelaskan perkara ini kerana tidak mahu timbul pertikaian kenapa beliau memilih Rahim dan tidak orang lain. Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan penubuhan Gabem peringkat negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang disini.
“Gabem adalah cetusan kehendak Majlis Tertinggi UMNO dan sudah tentu seorang Ahli Majlis Tertinggi perlu mengetuainya, sebab itu saya memilih Rahim” jelas beliau
Katanya, banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Gabem dan beliau berharap Gabem akan berada pada landasan yang betul demi untuk kepentingan ekonomi orang-orang Melayu.
|