KUALA LUMPUR 26 Jan. – Para pengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam diminta supaya tidak tertipu dengan taktik pembangkang yang cuba menghasut mereka jangan keluar mengundi pada pilihan raya berkenaan. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Rahim Tamby Chik menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai satu perbuatan tidak bertanggungjawab.
Katanya, beliau percaya dan yakin pengundi di DUN Batu Talam tidak mudah terpedaya dengan helah parti pembangkang itu. "Saya yakin pada pilihan raya ini kemenangan tetap akan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN). Ini kerana di sekitar Batu Talam terdapat banyak kawasan Felda.
"Seperti yang kita semua ketahui, Felda merupakan lambang kejayaan kerajaan BN. Ia (Felda) merupakan sejarah pembangunan ekonomi orang-orang Melayu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pada pilihan raya DUN Batu Talam, 28 Januari ini, calon BN, Abd. Aziz Mat Kiram akan dicabar oleh calon Bebas, Ng Chee Pang.
Rahim yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) berkata, berdasarkan pemerhatian, beliau mendapati pengundi di kawasan tersebut tidak menghiraukan segala taktik pembangkang.
"Pengundi yakin dengan kerajaan BN yang sentiasa berusaha mempertingkatkan kehidupan mereka dari semasa ke semasa,’’ katanya.
Beliau menyeru pengundi DUN Batu Talam supaya keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat negara ini.
"Kita mesti menunaikan tanggungjawab kita untuk keluar mengundi. “Nasihat saya cuma jangan kita mempercayai apa yang pihak pembangkang cakap pada setiap kali pilihan raya," katanya.
|