GABEM SEDIA SELESAI MASALAH USAHAWAN MELAYU SURIA - RAHIM |
PULAU PINANG 29 April – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) bersedia membantu menyelesaikan masalah usahawan bumiputera yang menghadapi kesukaran mengendalikan perniagaan mereka dengan mana-mana pihak dengan syarat mereka menjadi ahli gabungan persatuan itu.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, Gabem bersedia bertindak sebagai orang tengah menyelesaikan masalah yang dihadapi usahawan bumiputera termasuk dalam bidang perniagaan.
“Kita sedar ada beberapa usahawan bumiputra menyatakan kesulitan mereka dalam akhbar kerana mendakwa ‘ditindas’ oleh pemilik kompleks membeli-belah di ibu negara.
"Namun, apa yang kita mahu ialah biar mereka tampil dengan apa jua bukti bagi membolehkan kita berjuang untuk mereka.
"Kita tidak mahu nanti mereka datang dengan pelbagai masalah yang disebabkan oleh mereka sendiri seperti masalah peribadi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat gerak kerja pilihan raya peringkat negeri Pulau Pinang di sini semalam.
Abdul Rahim mengulas kesulitan dihadapi oleh usahawan bumiputera yang beroperasi di Suria KLCC.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, Gabem bersedia menyiasat perkara itu dan jika benar, ia berjanji akan memperjuangkan isu tersebut sehingga selesai.
Menurutnya, Gabem lebih selesa memperjuangkan isu-isu berkaitan masalah usahawan Melayu jika mereka menjadi ahli mana-mana gabungan di bawah Gabem.
Dalam hubungan ini, beliau mengakui wujudnya diskriminasi terhadap usahawan Bumiputera yang beroperasi di pusat-pusat membeli-belah di ibu negara terutama membabitkan pembahagian lot-lot kedai strategik.
Sambil mengakui masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama, beliau berkata, beberapa pendekatan sedang dikaji bagi membolehkan usahawan Bumiputera mampu bersaing secara adil dengan usahawan kaum lain.
|
|
|
|













|