KUALA LUMPUR 11 Mei – Kepimpinan UMNO meminta Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengekalkan keputusan asal mengenakan syarat pemilikan 50 peratus kepentingan bumiputera dalam firma-firma guaman yang mahu menjadi panel bank tersebut.
Mereka menyifatkan pendirian bank terbesar negara itu sebagai satu tindakan munasabah bagi memastikan wujud perkongsian adil antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, Maybank sebenarnya telah memulakan langkah patriotik yang harus dicontohi oleh institusi-institusi perbankan lain.

‘‘Niat baik bank itu untuk mewujudkan perkongsian pintar antara bumiputera dan bukan bumiputera telah disalah tafsir oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Syarat baru bank itu berhubung ekuiti panel peguam boleh memperbetulkan kedudukan bumiputera sendiri di samping membantu kemajuan negara," katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Beliau menambah, langkah bank itu turut dilihat dapat meningkatkan taraf ekonomi bumiputera yang agak rendah jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain.
|