GLC - PENGGERAK AGENDA MELAYU - KHAIRY JAMALUDDIN
SEJAK kebelakangan ini, hal-hal mengenai syarikat milik kerajaan (GLC) begitu hangat diperbincangkan dalam media-media tempatan. Namun, apa yang menghairankan, publisiti muka hadapan tidak pula mengetengahkan kejayaan cemerlang mereka seperti keberkesanan transformasi, peningkatan keuntungan ataupun kejayaan GLC bertapak, mencari ruang dan merebut peluang di luar negara.

Sebaliknya, apa yang dipaparkan lebih tertumpu kepada berita-berita negatif yang mungkin menyebabkan sesetengah ketua GLC ini, merah telinga dan panas punggungnya. Keretakan hubungan GLC dengan Komuniti Usahawan Bumiputera begitu hangat diperkatakan. Namun, adakah ia benar?

Enigma gergasi GLC ini perlu diselidik, dirungkai dan diperjelaskan dengan menyeluruh.

"Keluhan-keluhan yang didengar di Persidangan GABEM seperti kes seorang ketua pegawai eksekutif GLC yang mengatakan beliau “tidak peduli” kepada nasib seorang vendor bumiputera, menyebabkan umum membentuk tanggapan mereka terhadap ketua-ketua GLC" Khairy Jamaluddin

Mengapa GLC tidak boleh lari dari disentuh dalam apa jua perbincangan mengenai ekonomi negara? Kenapa setiap tindakan kepimpinan GLC diperhati dan hangat diperkatakan? Mana mungkin tidak. Bukankah GLC menyumbang kepada RM295 bilion ataupun 36% modal saham Bursa Malaysia, 41% Indeks Komposit Kuala Lumpur, lebih kurang 3% dari guna tenaga Malaysia, 7% daripada gaji guna tenaga seluruh ekonomi Malaysia? GLC juga terlibat secara langsung dalam industri strategik seperti tenaga, telekomunikasi dan kewangan. Mana mungkin gergasi sebegini terlepas dari pandangan.

Kerajaan sedar peranan besar GLC dalam konteks pembangunan negara. Prestasinya yang tidak begitu baik dibangkitkan dan mendapat perhatian Perdana Menteri pada tahun 2004. Hasilnya, “Putrajaya Committee on GLC High Performance” dibentuk pada Januari 2005. Dari saat itu, kerajaan memberikan perhatian yang serius dan penekanan tinggi terhadap tranformasi GLC.

Transformasi GLC telah menjadi teras penting dalam dasar dan falsafah ekonomi Perdana Menteri.

Secara amnya, proses transformasi ini mula memperlihatkan kejayaan awalnya. Kumpulan G-20 iaitu 20 syarikat GLC terbesar, mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 60% pada tahun 2006 berbanding 2005. Kadar pertumbuhan keuntungan yang dicapai oleh Kumpulan G-20 ini lebih terserlah kerana kadar pertumbuhannya empat kali ganda lebih banyak berbanding pertumbuhan keuntungan pasaran am. Jika dilihat secara terperinci, banyak kejayaan awal yang dicatatkan.

MAS misalnya, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM240 juta setelah “turnaround plan” mereka dilancarkan Februari tahun lalu. Begitu juga peningkatan produktiviti. ‘Oil extraction rate’ atau kadar pengeluaran minyak kelapa sawit yang dicatatkan oleh Golden Hope misalnya, mencatatkan kadar 21.5%, satu peningkatan berbanding purata industri iaitu pada kadar 19.5%.

Gergasi korporat yang mempunyai pegangan dan memikul tanggungjawab sebegini besar seharusnya membuktikan bahawa ia juga adalah jaguh terbaik di kalangan sektor korporat; bukan di takuk kelas kedua, jauh sekali kelas ketiga. GLC juga tidak boleh lagi setakat menjadi “jaguh kampung”, gagah di negeri sendiri tetapi tenggelam dalam persaingan global.

Urus niaga di peringkat global seperti yang ditunjukkan oleh TM dengan pembelian PT Excelcomindo di Indonesia, MobileOne di Singapura dan Multinet di Pakistan perlu dijadikan contoh. Langkah CIMB meluaskan sayapnya dengan mengambil alih beberapa syarikat kewangan di Singapura, Thailand, Indonesia dan Bahrain juga perlu dijadikan teladan.

Namun perlu diingat bahawa melangkah ke luar negara bukanlah ibarat rusa masuk kampung, tercangak-cangak tanpa hala tujuan. Melangkah ke arena global adalah langkah bermatlamat. Bukan sekadar ingin mengibar Jalur Gemilang tetapi menjadi pelabur bijak yang disegani, pulang membawa hasil. Apa yang hendak dibangga dengan pelaburan di luar jika tidak membawa untung. Dalam konteks ini, Sime Darby boleh dijadikan contoh di mana hampir 45% keuntungannya diperoleh daripada pelaburan dalam sektor mesin berat di Queensland, Australia.

Namun, apa yang lebih membanggakan sebenarnya ialah majoriti daripada ketua GLC yang berjaya merekodkan perubahan besar yang cemerlang ini terdiri daripada bumiputera. Kita tidak ketandusan Melayu yang bijak, berwibawa dan berkebolehan.

Ketua-ketua GLC bumiputera ini juga menyumbang dengan besar dari aspek pembangunan modal insan bumiputera di GLC masing-masing. Khazanah Nasional Berhad yang dahulunya sinonim sebagai majikan kepada bekas-bekas pegawai sektor awam, kini mampu menarik minat para profesional industri daripada pelbagai bangsa, yang sedang berada dalam kemuncak kerjaya untuk menyertainya.

Persoalannya, adakah pencapaian ini memadai dari konteks perjuangan Agenda Melayu yang diharapkan melalui proses tranformasi ini?

Dasar kerajaan menswastakan GLC pada tahun 80-an adalah untuk meningkatkan kecekapan, memperkukuhkan budaya kerja dan memupuk GLC untuk lebih berdaya saing. Jika dahulu, kerajaanlah pemilik penuh syarikat-syarikat ini.

Kini, dengan inisiatif penswastaan melalui penyenaraian saham di Bursa Malaysia, syarikat- syarikat ini tidak boleh mengelak daripada memberikan perhatian kepada stakeholders yang lain yakni para pelabur baik tempatan mahupun asing, institusi ataupun kecil (retail).

Pemilik-pemilik baru GLC ini hanya akan melaburkan wang mereka pada saham syarikat yang dapat menghasilkan keuntungan yang berterusan.

Keuntungan berterusan akan menjanjikan pelabur dengan kenaikan harga saham syarikat tersebut sekali gus membolehkan pelabur menjual dan mendapat keuntungan. Jika tidak dijual sekalipun, dividen akan diperoleh. Keuntungan juga merupakan penentu kepada kenaikan gaji dan bonus kakitangan GLC, sekali gus menjadi pemangkin untuk mereka lebih produktif dan berusaha lebih gigih.

Realitinya, keuntungan itu adalah keperluan asas dalam kewujudan mana-mana syarikat sekalipun. GLC pastinya tidak terkecuali. Dan oleh kerana GLC merupakan sebahagian besar daripada modal pasaran atau market capitalization Bursa Malaysia, prestasi syarikat-syarikat ini boleh membawa kesan yang besar kepada sentimen pasaran umum.

Walau bagaimanapun, majoriti pemilikan GLC tetap di tangan kerajaan. Oleh yang demikian, GLC tetap bertanggungjawab kepada pemegang kepentingan dan pemiliknya yang utama iaitu kerajaan. Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia di Perhimpunan Agung UMNO sudah pun menyatakan bahawa GLC perlu prihatin kepada pelaksanaan dan pencapaian Agenda Melayu dan tugas-tugas sosioekonomi yang lain.
Ini kerana Agenda Melayu merupakan satu Misi Nasional kerajaan. Antara aspek-aspek yang diberikan perhatian ialah program pembangunan vendor dan perolehan GLC yang berpotensi untuk diperbaiki agar dapat memberi lebih banyak peluang kepada syarikat bumiputera yang berkebolehan dan kompetitif.

GLC juga diberi tanggungjawab untuk memberikan peluang baru kepada usahawan bumiputera. GLC turut diamanahkan untuk membangunkan modal insan melalui pemberian biasiswa terutamanya pada sektor pengurusan.

Walaupun dengan adanya iltizam politik yang sebegini tinggi, mengapakah masih banyak desas-desus yang menzahirkan keraguan sesetengah pihak terhadap transformasi GLC ini terutamanya dalam aspek pelaksanaan Agenda Melayu? Dari Perhimpunan Agung UMNO ke Persidangan Jihad Ekonomi anjuran GABEM, ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan cara GLC menatang pelaksanaan Agenda Melayu.

GLC tentu menjawab bahawa ia telah memainkan peranan. Sebagai contoh, TM boleh menjelaskan bahawa ia melaksanakan Program Jadual Kadar Harga Kerja sejak 1970 lagi di mana kerja-kerja sivil yang bernilai lebih RM158 juta pada tahun 2005 disertai oleh 100% syarikat bumiputera. Antara program TM yang berteraskan bumiputera lain ialah Program Pemerolehan Pembekal bumiputera, di mana 72% daripada kontrak pembekalan diberikan kepada usahawan bumiputera.

Namun, adakah itu memadai? Jikapun itu memadai, bagaimana dengan GLC-GLC lain? Adakah mereka juga melaksanakan tanggungjawab? Ibarat kata pepatah, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang?

Ada yang berpendapat bahawa syarikat-syarikat kecil bumiputera masih belum mendapat peluang yang saksama sebagai vendor dan pembekal. Pada mereka, realiti dunia korporat yang mengutamakan keuntungan sebagai penanda aras kejayaan menyebabkan syarikat kecil bumiputera ditolak atas alasan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan efisiensi.

Justeru itu, dalam menangani keresahan syarikat kecil bumiputera, harapan yang besar diletakkan kepada Jawatankuasa Putrajaya yang mengemukakan “Red Book”. Antara lain bagi meningkatkan penyertaan bumiputera di GLC dan membangunkan vendor tulen bumiputera sejajar dengan halatuju kerajaan. “Red Book” ini juga menekankan keperluan pembentukan Program Pembangunan Vendor Bumiputera yang sepadu dan meyeluruh di setiap GLC. Namun yang demikian, pelaksanaan inisiatif ini perlulah luhur, telus dan komprehensif agar matlamat inisiatif ini benar-benar tercapai.

Kedua, ramai yang khuatir jika GLC bertempur di medan perang yang sama dengan syarikat kecil dan sederhana bumiputera. Ramai yang melahirkan kebimbangan mereka, takut-takut kerja subkontrak projek gergasi kerajaan seperti Jambatan Pulau Pinang kedua hanya jatuh ke riba anak-anak syarikat GLC. Justeru itu, perlu ada penglibatan serius daripada usahawan bumiputera dalam perancangan perolehan kontrak.

Begitu juga dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), yang dijangka menarik pelaburan sebanyak RM47 bilion. Dalam kita menaruh harapan di atas kejayaan pakej insentif demi pembangunan WPI, harapan yang besar juga diletakkan di atas Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar supaya dapat menggubal dan mengemukakan insentif dan halatuju yang jelas bagi penyertaan dan peranan syarikat bumiputera.

Adakah mungkin semua masalah ini berpunca daripada proses komunikasi yang kurang berkesan?

Adakah mungkin peluang-peluang ini sememangnya telah tersedia tetapi tidak dimaklum atau dipasarkan dengan berkesan oleh GLC sehingga membawa kepada persepsi-persepsi yang disebutkan tadi?

Keluhan-keluhan yang didengar di Persidangan GABEM seperti kes seorang ketua pegawai eksekutif GLC yang mengatakan beliau “tidak peduli” kepada nasib seorang vendor bumiputera, menyebabkan umum membentuk tanggapan mereka terhadap ketua-ketua GLC.
Beberapa GLC telah mengambil langkah positif dengan mewujudkan unit penyertaan bumiputera.

Di bawah unit ini, beberapa orang pegawai dipertanggungjawabkan untuk memastikan peluang yang ada diuar-uarkan dengan berkesan, melalui rangkaian yang betul agar tiba kepada golongan sasarannya dengan cepat dan berkesan.

Pada masa yang sama, keluhan yang dimajukan tidak setakat didengari tetapi dihalusi dan diselesaikan dengan segera. Langkah ini harus dicontohi dan jika perlu, dipertingkatkan agar proses komunikasi berjalan dengan lebih lancar.

Mungkin rasa tidak puas hati ini lahir kerana kurang prihatinnya ketua-ketua GLC terhadap nasib usahawan bumiputera. Jika dilihat semasa Persidangan GABEM baru-baru ini, ramai usahawan bumiputera terkilan kerana empat daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC yang dijemput, tidak dapat hadir.

Walaupun dua daripada mereka menjadi sebahagian daripada delegasi rombongan Timbalan Perdana Menteri ke luar negara, rasa terkilan ini bertambah, ibarat luka disimbah cuka, apabila Program Invest Malaysia baru- baru ini yang melibatkan para penganalisis, pengurus dana dan pegawai-pegawai bank pelaburan antarabangsa melihatkan kehadiran hampir kesemua CEO GLC.

Maka timbullah persoalan. Jika program GABEM yang lahir daripada iltizam politik UMNO dan dihadiri semua pucuk pimpinan UMNO tidak mampu menarik kehadiran CEO GLC, program apa lagikah yang mungkin mampu menarik perhatian mereka?

Apakah tiada titik tengah dalam cabaran untuk mengimbangi keuntungan dan pelaksanaan Agenda Melayu? Apa pun, usahawan-usahawan bumiputera dan para pengkritik GLC perlu berlaku adil dan memahami kedudukan GLC yang bertanggungjawab mewujudkan nilai bagi pelabur yang memegang saham mereka? Tiada keuntungan bermakna tiadalah pelabur dan tanpa pelabur, tiadalah dana. Jika situasi ini berlaku, institusi kewangan pun tidak sudi memberikan pinjaman.

Jika inilah keadaannya, secara tidak langsung lenyaplah peluang dan ruang yang dapat diberikan kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana bumiputera.

Jika GLC wujud untuk melaksanakan tanggungjawab sosioekonomi semata-mata, tanpa mengambil kira keuntungan atau nilai saham mereka, lebih baik disyorkan kepada kerajaan untuk mengambil alih aset mereka dan gugurkan penyenaraian mereka dari papan-papan BSKL.

Namun langkah sedemikian begitu jauh tersimpang daripada objektif pembangunan negara dan apakah mesej yang akan disampaikan kepada pelabur, terutamanya pelabur antarabangsa?

Objektif untuk menghasilkan syarikat GLC bertaraf dunia yang dapat menjana lebih banyak syarikat usawahan Melayu juga lebih baik dilupakan sahaja.

Jalan penyelesaiannya banyak bergantung kepada kebolehan GLC untuk mengimbangi tuntutan urus niaga dan juga matlamat Agenda Melayu dengan bijak. GLC harus terus memberikan peluang dan ruang untuk syarikat bumiputera bergerak. GLC perlu bijak menonjolkan kewujudan ruang dan peluang ini. Platform-platform komunikasi yang cepat dan berkesan perlu dibina.

Pada masa yang sama, mereka perlu sedar bahawa amat penting untuk mereka memperuntukkan masa dan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada usahawan bumiputera dengan menghadiri perjumpaan yang membincangkan Agenda Melayu seperti program GABEM.

Jika kesinambungan ini dapat diwujudkan dan dijalinkan dengan baik, proses pembangunan ekonomi negara pastinya akan dapat berjalan dengan lebih baik seiring, dengan penghasilan syarikat GLC yang bertaraf dunia yang disokong oleh rangkaian syarikat kecil dan sederhana bumiputera yang suatu hari nanti juga akan dapat bersaing di persada korporat dunia.

- PENULIS ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.(Di petik dari Utusan Malaysia)
0 Comments:
Post a Comment
<< Kembali
 


Biodata
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email RTC


Pejabat
Suite 30-1, Wisma UOA 11
No. 21, Jalan Pinang
50450 Kuala Lumpur

Tel : 03-2163 4668
Fax : 03-2163 5658
SMS : 019-2010 000


Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Gabem Sana Sini





Akhbar Hari Ini
Pautan