Biarpun sibuk dengan tugas parti dan perniagaan, bukan sukar untuk mengatur pertemuan dengan beliau. Menepati waktu temujanji, beliau sampai sebelum jam 9 malam di Ayer Keroh D’Village Resort, lokasi wawancara diadakan.
Wajahnya tidak banyak berubah, masih segak seperti dulu, malah kurus sedikit berbanding ketika menjadi Ketua Menteri Melaka antara 1982 hingga 1994.
Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan isterinya, Puan Sri Zabedah Abdullah, yang begitu ramah, terus mengajak penulis dan juru gambar makan dulu sebelum wawancara dimulakan.
“Saya memang jaga makan. Dulu waktu jadi Ketua Menteri saya tak jaga sangat makan. Sekarang saya betul-betul jaga. Bersenam dan bersukan saya jadikan rutin harian. Saya berjoging, berenang, main golf, badminton dan bowling.
“Alhamdulillah pada usia 55 tahun, saya masih lagi sihat,” katanya ketika bersembang di meja makan sebelum wawancara diadakan di sofa yang disediakan khas di sebuah bilik di hotel berkenaan.
Malah isterinya, Zabedah juga jelas berkongsi amalan sama, menjaga makan demi kesihatan. Tidak harianlah bentuk badannya masih kelihatan menarik biarpun sudah mencecah usia 53 tahun.
Abdul Rahim cuma menjamah sedikit minum, ayam goreng serta sepotong limau yang dihidang, sedangkan nasi goreng langsung tidak disentuh.
“Dulu Tan Sri tak kacak macam sekarang. Dulu orang tengok pun lari,” seloroh Zabedah yang duduk di sebelahnya apabila penulis bertanyakan jika ada koleksi gambar lama untuk disiarkan.
Namun dalam menjaga pemakanan, satu-satunya makanan yang Abdul Rahim tak boleh tolak ialah masakan asam pedas isterinya.
“Saya suka asam pedas terutama apabila isteri saya masak. Saya tak memilih sangat makan, tapi alah kepada makanan laut. Jadi saya tak ambil makanan laut,” katanya
Sebaik selesai makan malam, kami pindah ke sofa bersebelahan dan Abdul Rahim terus membuka bicara dengan menceritakan kisah zaman kanak-kanaknya yang pernah mengabaikan pelajaran kerana minat memikat burung, sebelum beliau berubah menjadi seorang yang rajin belajar selepas dipukul terus oleh ibunya. Terima kasih Berita Harian