Pergerakan Pemuda UMNO dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan sebuah syarikat yang membekalkan bahan-bahan binaan bagi mengelakkan masalah ketirisan kontrak.
Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu perlu ekoran masalah ketirisan kontrak sering berlaku di kalangan kontraktor bumiputera di negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan pengamatan sebelum ini, antara masalah ketirisan adalah disebabkan kontraktor bumiputera tidak mampu membeli bahan binaan kerana harganya terlalu tinggi.
"Ini kerana pihak yang menguasai penjualan bahan binaan boleh menetapkan harga mereka sendiri. Tambahan pula negara kita tidak mempunyai syarikat besar milik kerajaan dalam perniagaan itu. Sebenarnya kontraktor kita tersepit," katanya selepas majlis penutup Kongres Jihad Ekonomi anjuran Gabem dan Pergerakan Pemuda UMNO itu.
Katanya, sifat syarikat yang disyorkan penubuhannya itu ialah syarikat tujuan khas dan ia diterajui oleh sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Petronas.
"Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kos bahan binaan dianggarkan RM100 bilion. Nilainya amat besar, oleh itu kerajaan perlu segera menubuhkan sebuah syarikat untuk membekal bahan binaan ini.
"Penubuhannya bukan untuk bersaing tetapi sebagai pelengkap sekali gus menstabilkan harga bahan binaan di negara ini," ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil perhatian syor itu kerana ia salah satu isu paling hangat dibincangkan dalam kongres berkenaan.
"Dalam resolusi kongres yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ia turut mengandungi perkara tersebut. Ini masalah serius dan ia perlu diatasi segera demi masa depan kontraktor bumiputera kita," tambahnya.
|