YAB Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia akan melancar penubuhan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) pada 6hb. Jun 2006 pada jam 2.30 petang bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
GABEM yang ditubuhkan untuk membantu merealisasikan aspirasi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Malaysia pada 25 Ogos 2005 berkaitan 12 (Dua belas) Perkara Agenda Melayu. GABEM yang dibentuk sebagai sebuah NGO yang dijuarai oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO akan berperanan sebagai Pendorong kesedaran masyarakat Melayu terhadap isu-isu ekonomi Melayu Penyalur pendapat 'opinion leaders Melayu' dalam NGO ekonomi untuk perhatian dan tindakan kerajaan Pemangkin gerak kerja untuk memperkasa ekonomi Melayu
Di majlis itu juga Perdana Menteri akan menyampaikan Amanat Perdana RMK9 yang akan dihadiri oleh pemimpin badan-badan ekonomi Melayu, Profesional Melayu dalam bidang ekonomi, Sarjana Ekonomi Melayu dan Usahawan-usahawan dari seluruh negara. Jemputan juga terdiri daripada pegawai-pegawai Melayu dari sektor awam dan swasta yang dipertanggongjawabkan untuk memperkasa ekonomi Melayu agar menjadi satu bangsa yang berdaulat dan terhormat. Majlis Pelancaran ini juga akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Razak. Majlis Pelancaran ini diharap akan menjadi satu acara bertaraf nasional yang akan menjadi 'landmark' dalam program memartabatkan ekonomi Melayu, sebagai satu langkah 'quantum leap' untuk usahawan-usahawan Melayu dalam usaha mewujudkan Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Melayu. Saya selaku Pengerusi GABEM akan menyampaikan ucapan aluan dan Taklimat Pemerkasaan Ekonomi Melayu Menerusi Permaufakatan Badan-Badan Ekonomi Melayu yang akan meletakan gerakan ekonomi orang-orang Melayu selepas ini berada pada landasan yang kukuh selaras dengan hala tuju RMK9. Manakala Perdana Menteri akan menyampaikan Amanat Perdana RMK9 dan disertai dengan majlis dailog RMK9 bersama peserta. Harapan saya agar pelancaran GABEM ini akan membuka ruang baru kepada penyertaan orang-orang Melayu dalam memperkasakan ekonomi Melayu serta mengumpul dan menggabungkan NGO Ekonomi Melayu dibawah satu payung yang direstui dan dinaungi oleh Majlis Tertinggi UMNO.
|