JOHOR BAHRU 9 April - Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) harus ditransformasi menjadi realiti dan bukan sekadar kertas dokumen retorik yang memberi harapan tinggi tetapi tidak boleh diisi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, untuk menterjemahkannya, barisan pemimpin UMNO perlu mempunyai komitmen, iltizam dan semangat patriotisme yang tinggi.
Beliau berkata, para pemimpin UMNO juga harus memahami peranan untuk melaksanakan RMK-9 demi masa depan Melayu hari ini dan generasi akan datang.
``UMNO berjaya merubah nasib bangsa Melayu dan rakyat Malaysia dengan reformasi perpaduan nasional, pendidikan dan ekonomi untuk memperlihatkan kebolehan kepimpinan UMNO dalam mengatasi krisis dalaman,'' katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau memberi ceramah pada majlis Islam Hadhari Menerap Pembangunan Ummah anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Kulai, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan. Lebih 200 ahli UMNO hadir untuk mendengar ceramah yang antara lainnya, menghuraikan asas perjuangan UMNO di samping menyemai semangat perjuangan yang tinggi di kalangan ahli parti.
Rahim berkata, ahli-ahli dan pemimpin UMNO mesti memainkan peranan positif dan konstruktif untuk melaksanakan RMK-9. Katanya, mereka yang diberikan amanah untuk bekerja, mestilah bekerja dengan jujur dan ikhlas. Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pemimpin UMNO supaya mengikis sikap nepotisme dan `ali baba' apabila diberikan sesuatu projek kerana kerajaan menerusi Badan Pemantau Nasional, terus memantau agensi-agensi untuk mengenal pasti kelemahan yang ada.
Katanya lagi, apabila dianugerahkan sesuatu projek, janganlah diserahkan kepada kawan-kawan dan hanya sebilangan kecil sahaja yang dapat menikmatinya. Sebaliknya, kata beliau, penganugerahan itu biarlah dilakukan secara telus.