MELAYU TOLONG MELAYU



BERMUAFAKAT MENJAYAKAN EKONOMI MELAYU

Assalamualaikum w.b.t

Pertamanya terima kasih yang tidak terhingga dan penghargaan yang tertinggi kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO di atas kesudian beliau merasmi dan menghadirkan diri ke majlis yang sungguh bertuah dan bersejarah ini.

Kehadiran Yang Amat Berhormat sesungguhnya memberi dorongan, rangsangan dan motivasi kepada seluruh warga GABEM dan warga masyarakat perniagaan dan perdagangan Melayu di sini dan di seluruh tanahair untuk meneruskan satu perjuangan yang belum selesai, yang amat sukar untuk diselesaikan.
Juga penghargaan yang tinggi kami rakamkan kepada Ahli-ahli Majlis Perundingan GABEM, Ahli-ahli Permuafakatan GABEM dan seluruh hadirin hadirat yang datangnya dari jauh dan dekat untuk memunafaatkan majlis yang berkat dan keramat ini.

Yang Amat Berhormat, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah…… Bagi saya selaku Pengerusi GABEM dan rakan-rakan saya dalam GABEM, hari ini adalah hari yang amat historik dan strategik dalam laluan sejarah Bangsa Melayu. Kalau 60 tahun dahulu UMNO telah dicipta oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang ingin melihat perpaduan unggul dan jitu merupakan kekuatan sakti yang telah melepaskan maruah bangsa dari penghinaan penjajahan, UMNO telah berjaya mencapai matlamat murni dan suci ini dengan menyatukan seluruh persatuan-persatuan politik Melayu, baik yang berfahaman kiri, kanan atau tengah, atas atau bawah.

UMNO berjaya bukan setakat menebus maruah bangsa melalui kemerdekaan yang dicapai, tetapi telah juga menebus penghinaan yang melanda bangsa selama 450 tahun dengan mengisi erti kemerdekaan melalui perlaksanaan proses pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk rakyat dan negara dari sejak 49 tahun yang lalu hinggalah ke tahun 2020 nanti.

Seperti kehebatan UMNO menerokai laluan sejarahnya di negara ini, GABEM atau “Gagasan Badan Ekonomi Melayu” berazam dan berhasrat menurut jejak langkah UMNO yang lalu. GABEM dilahirkan bertujuan untuk menyatukan seluruh Badan-badan, Dewan-dewan, Persatuan-persatuan, NGO-NGO dan kesemua Organisasi Ekonomi Melayu supaya ianya merupakan satu suara, satu pasukan, satu jemaah, satu ikatan, satu rangkaian, satu halatuju, satu destini dan satu destinasi yang ditujui bersama.

Yang Amat Berhormat, hadirin hadirat yang dirahmati Allah….. Sejarah perjuangan ekonomi Bangsa Melayu tidaklah sehebat sejarah UMNO itu sendiri. Ia telah banyak melalui liku-liku, duri-duri dan ranjau, sepanjang perjalanannya menuju ke tahap kejayaan yang lebih boleh dibanggakan.

Reformasi pertama terhadap cetusan perjuangan ekonomi Bangsa Melayu bermula apabila pemimpin-pemimpin UMNO berjaya melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah menyediakan peluang-peluang pendidikan yang amat luas dan tidak terbatas kepada setiap anak bangsa tidak kira di mana mereka berada, di solok, di desa, di kampung, di pendalaman atau di dalam Bandar. Rata-rata perjuangan menguasai ilmu telah membekalkan generasi muda Melayu satu penghidupan yang lebih selesa dan sejahtera, jauh lebih berbeza dan baik dari apa yang dialami dan dilalui oleh ibu bapa mereka di masa silam. Kini usaha merubah status ekonomi Melayu melalui penggunaan ilmu terus berjalan lancar dengan menjadikan negara ini sebuah pusat pendidikan cemerlang antarabangsa.

Reformasi kedua dalam perjuangan ekonomi Bangsa Melayu ialah apabila Tragedi Berdarah 13 Mei 1969 telah mengilhamkan, pemimpin-pemimpin UMNO dengan seizin Allah swt, untuk merobohkan benteng-benteng yang selama ini telah menghalang dan menyekat Bangsa Melayu dari menikmati peluang-peluang dan rezeki hasil dari kemakmuran negara yang bertambah sejak merdeka. Tergubalnya Dasar Ekonomi Baru bagi membasmi kemiskinan rakyat dan menyusun semula masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum telah berjaya mengwujudkan satu suasana di mana kekayaan negara telah mula diagih kepada rakyat dari semua kaum dengan secara lebih adil dan saksama.

Lebih terserlah kejayaan ekonomi Malaysia apabila negara ini berjaya melepaskan diri dari belenggu penggantungannya semata-mata kepada pengeluaran beberapa bahan-bahan utama saja seperti timah dan getah. Malaysia seterusnya berjaya memperkukuhkan kedudukannya dalam bidang pengilangan, perkhidmatan dan teknologi informasi dan komunikasi. Kini pula, di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ekonomi negara diperkukuhkan lagi dengan fokus baru yang diberikan kepada ekonomi yang berasaskan pertanian di luar bandar dan berorientasi bioteknologi.

Yang Amat Berhormat, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah…. Laluan sejarah perjuangan ekonomi negara yang cemerlang dan gemilang yang telah saya sebutkan tadi tidaklah menggambarkan bahawa Bangsa Melayu telah semudah itu dapat menyertai arus perubahan yang pantas dan deras ini.

Walaupun dibekalkan dengan penguasaan ilmu dan peluang-peluang ekonomi yang banyak namun keupayaan dan kemampuan untuk berjaya dan maju di kalangan Bangsa Melayu adalah terhad dan lambat. Sasaran agar Melayu menguasai 30% dari ekonomi negara dalam masa 30 tahun selepas perlaksanaan DEB ternyata mengecewakan apabila didapati dalam tahun 2005 pencapaian penguasaan ekonomi Melayu sebanyak 22.2% telah turun semula kepada 18.5%. Malah pemegangan equiti Melayu individu tidak melebihi 4% manakala tenaga pengurusan Melayu di dalam syarikat-syarikat besar tidak melebihi 3%. Ianya bagaikan satu ledakan sebuah gunung berapi yang boleh menewaskan sebuah perjuangan ekonomi sebuah bangsa.

Bangsa Melayu dan masyarakat ekonominya seolah-olah tidak percaya apa yang terjadi dan bagaimana ianya boleh berlaku. Banyak debat, polimik dan kenyataan-kenyataan beremosi yang telah dihamburkan dan semua kemungkinan kelemahan cuba diterokai dan dikenalpasti.

Secara muram dan pessimistik, faktor-faktor yang pernah dibicarakan dipercayai bertanggungjawab terhadap kegagalan Melayu dalam bidang ekonomi termasuklah amalan “ali-baba” yang masih berluasa di peringkat bawahan hiraki ekonomi manakala masalah “ketirisan” pula menular di peringkat atasan, tipisnya penghayatan “Agenda Melayu” di dalam hati, jiwa dan kalbu setiap Melayu menjadikan hasrat untuk bekerja sebagai satu pasukan dan rangkaian ke arah satu halatuju menjadi “kelabu” dan kabur, kurangnya rasa cinta, kasih dan sayang kepada bangsa sendiri telah melemahkan semangat patriotisma ekonomi (economic patriotism) di kalangan anak bangsa yang pula telah menghalang kita menzahirkan sebuah solidariti ekonomi (economic solidarity) sebagai benteng dan strategi untuk kejayaan sebuah perjuangan ekonomi sebuah bangsa.

Adapun Badan-badan Ekonomi Melayu yang ratusan dan ribuan jumlahnya tidak pula dapat membekalkan satu kepimpinan yang kental, effektif, unggul dan dinamik yang diharapkan oleh ahli-ahli mereka dapat mengangkat martabat, solidariti dan intergriti mereka ke tahap yang boleh dibanggakan. Ada yang merasakan kedudukan sebahagian dari badan-badan ini seolah-olah “anak-anak ayam kehilangan ibu”. Hilang destinasi, hilang halatuju.

Alhamdullillah, berkat kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, segala rintihan, kekhuatiran dan kekecewaan bangsa Melayu dalam perjuangan ekonominya yang telah disuarakan secara lantang dan telus dalam Perhimpunan Agong UMNO tahun 2005 telah mendapat perhatian yang amat serius dari Yang Amat Berhormat Datuk Seri selaku Presiden UMNO. Manifestasi keseriusan ini telah menjadi kenyataan apabila usul menggubal dan melaksanakan “Agenda Nasional Baru “ menggantikan Dasar Pembangunan Negara telah diluluskan oleh perhimpunan agong ini. Lebih serius apabila Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah mengarahkan sendiri agar sebuah mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO diadakan pada 25 Ogos 2005 bagi membincangkan perkara-perkara yang telah disentuh dan dibahaskan di dalam perhimpunan Agong UMNO yang lalu, disamping melakarkan langkah-langkah dan strategi-strategi baru bagi memperbetul dan membaikpulih kecapaian ekonomi Melayu yang telah mulai diragui.

Yang Amat Berhormat, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah… Di dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO yang historik inilah penubuhan GABEM atau “Gagasan Badan Ekonomi Melayu” telah dipersetujui sebagai satu langkah praktikal dan strategik ke arah menyatukan seluruh Badan-badan, Dewan-dewan, Persatuan-persatuan, NGO-NGO dan segala Organisasi Ekonomi Melayu di bawah satu payung supaya ianya dapat berjuang dengan satu suara, satu nada, satu pasukan, satu jemaah, satu ikatan, satu rangkaian, satu halatuju, satu destini, satu hati dan satu destinasi yang sama-sama ditujui.

Untuk pengetahuan Yang Amat Berhormat dan hadirin sekelian, GABEM yang telah didaftarkan sebagai Badan Amal berstatus Non-Profit pada 1hb Mac 2006 mempunyai visinya sendiri iaitu untuk melahirkan “Melayu Berprestasi Tinggi dalam Ekonomi” sebagai asas pembinaan kecemerlangan dan ketahanan Masyarakat Perniagaan dan Perdagangan Melayu (MPPM) masakini dan masa akan datang.

GABEM merasai visi atau wawasan ini akan boleh diterjemah menjadi kenyataan melalui “misi” yang akan disempurnakan dengan kerjasama dari semua Badan-badan Ekonomi Melayu tidak kira badan-badan tersebut bersaiz kecil, sederhana, besar atau super besar. Bersama badan-badan ini, GABEM akan mengembeling satu permuafakatan yang kukuh seolah-olah ianya merupakan satu keluarga yang mempunyai cita-cita dan hasrat yang sama dalam satu ikatan yang mesra dan selesa. Syarikat-syarikat individu dan orang perseorangan juga tidak dihalang untuk bergabung dengan GABEM asalkan mereka ini mempunyai niat dan visi yang sama di samping boleh menyumbang terhadap kejayaan perjuangan ekonomi bangsa Melayu.

Dalam menterjemahkan visi dan misi yang disebutkan tadi, GABEM akan memfokus kepada 4 strategi gerak kerja itu :

i) Pemerkasaan permuafakatan dan pengukuhan institusi;
ii) Pembentukan sikap dan budaya ekonomi;
iii) Gerakan penghapusan jurang ekonomi antara kaum
iv) Penjanaan idea niaga kreatif
Di bawah strategi “pemerkasaan permuafakatan dan pengukuhan institusi”, sebuah “Majlis Perundingan GABEM” akan ditubuhkan di mana ahli-ahli Majlis terdiri dari pemimpin-pemimpin ekonomi Melayu dari berbagai bidang dan jurusan yang mewakili kepentingan berbagai “cluster” ekonomi yang strategik, pemimpin-pemimpin agensi kerajaan, tokoh-tokoh dan sarjana-sarjana Melayu. Majlis ini pada dasarnya bertanggungjawab menilai kedudukan ekonomi Melayu semasa, menilai dasar kerajaan yang sediada, mencari penyelesaian terhadap permasalahan ekonomi bangsa Melayu dan mencadangkan dasar-dasar baru kepada kerajaan jika dirasakan perlu. Manakala penubuhan “Majlis Permuafakatan GABEM” pula yang mana keahliannya terdiri dari pemimpin-pemimpin Badan Ekonomi Melayu bertujuan mendapatkan maklum balas tentang kondisi dan kontribusi badan-badan ini dalam hubungannya dengan peranan masing-masing untuk menjayakan ekonomi Melayu.

Di samping itu sebuah “Global Muslim Business Secretariat” akan ditubuhkan oleh GABEM bagi memperluaskan ruang lingkup perniagaan dan perdagangan Melayu ke tahap serantau dan global terutamanya di kalangan negara-negara Islam.

GABEM juga merancang untuk menubuhkan sebuah Panel Pencegahan Ketirisan untuk memantau sebarang kelemahan, penyelewengan dan rasuah yang berlaku untuk tindakan pihak berkuasa yang berkaitan jika relevan.

Di bawah strategi “Pembentukan Sikap Dan Budaya Ekonomi”, GABEM merasakan bahawa usaha menanam semangat dan nilai-nilai keusahawanan mesti bermula dari usia persekolahan lagi. Manakala cadangan penubuhan GABEM Academy of Business Excellence (GABEX) dapat memperkukuhkan minda dan penghayatan budaya niaga di kalangan bangsa Melayu. Begitu juga peranan media terhadap usaha ini tidak akan diketepikan.

Di bawah strategi “Gerakan Penghapusan Jurang Ekonomi Antara Kaum”, GABEM akan menubuhkan beberapa pasukan petugas khas bagi melihat aspek-aspek penting penglibatan dan penyertaan ekonomi Melayu seperti peningkatan equiti Melayu dalam sektor korporat, pembangunan tanah-tanah Melayu yang terbiar dan strategik di merata tempat di seluruh tanahair, masalah pengangguran mahasiswa yang sampai ke tahap puluhribuan dan pemantapan harta intelek Melayu, akan menjadi perhatian dan tindakan GABEM.

Di bawah strategi “ Penjanaan Idea Niaga Kreatif” pula, GABEM berhasrat menubuhkan “Inovasiniaga.com.my” dan “Telemodal.com.my” bagi membolehkan dissiminasi maklumat tentang idea-idea baru ekonomi yang baik dan viable dari semua pihak dapat disalurkan untuk tindakan GABEM pada bila-bila masa sekalipun dan pada masa yang sama semua informasi tentang kemudahan, bantuan, insentif, kewangan, modal dan lain-lain kepada peniaga dan pengusaha baru akan dapat dibekalkan secara bersepadu dalam bentuk sebuah pusat serenti (one stop agency).

Yang Amat Berhormat, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah….. Begitulah besarnya peranan dan sumbangan yang akan dibuat oleh GABEM terhadap kejayaan ekonomi bangsa Melayu, InsyaAllah jika kesemuanya berjalan seperti dirancangkan. Kalau peranan pemerintah adalah merancang sebuah dasar ekonomi yang baik dan berkesan, peranan pelaksana-pelaksana (pegawai dan kakitangan kerajaan) pula adalah berbelanja sepertimana yang diluluskan oleh pemerintah bagi perlaksaan dasar ekonomi tadi, maka peranan GABEM adalah mempastikan apa yang tersurat dan tersirat di dalam perlaksanaan dasar ekonomi tersebut akan benar-benar sampai dan dinikmati oleh semua kumpulan sasaran yang dimaksudkan tanpa tersimpang dari landasan keadilan, ketidaksamaan dan ketulusan.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri, adalah menjadi harapan kami semua warga MPPM agar Yang Amat Berhormat Datuk Seri akan terus menjuarai perjuangan ekonomi bangsa Melayu hingga ke hujung jalan tanpa letih dan takut. Selaku wira bangsa yang berhemah tinggi, kami merayu dan mengharapkan agar kegigihan dan konsistensi Yang Amat Berhormat Datuk Seri akan mempastikan perjuangan ekonomi bangsa Melayu dalam konteks perjuangan ekonomi bangsa Malaysia akan mendapat tempat yang haknya sepertimana yang dirancangkan.

Untuk itu, dengan bimbingan nasihat, sokongan dan keprihatinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri, GABEM akan terus berusaha secara gigih dan jujur untuk melihat visi “Melayu Berprestasi Tinggi Dalam Ekonomi” akan benar-benar menjadi kenyataan yang boleh dibanggakan oleh setiap warga Melayu dan warga Malaysia. Kami percaya kejayaan ekonomi bangsa Melayu adalah kejayaan Malaysia, kecemerlangan bangsa Melayu akan menjurus kearah kemakmuran yang bertambah dan meningkat bagi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

GABEM ingin melihat bukan sahaja kerajaan menolong Melayu, kami ingin melihat kali ini “Melayu Tolong Melayu!”. Dalam konteks ekonomi, “Melayu Tolong Melayu” bererti yang kaya atau superkaya, akan menolong yang tidak kaya, yang besar tolong yang kecil, yang kuat tolong yang lemah dalam ikatan mentor-mentee, system vendor, kaedah anak angkat atau lain-lain kaedah yang sesuai dan “mutually beneficial”. Untuk ini, slogan “Melayu Tolong Melayu” mesti dijadikan kata-kata hikmat yang keramat. Mudah-mudahan kata-kata keramat ini, “Melayu Tolong Melayu” akan terus bergema, membara dan tersemat di dalam hati, jiwa dan kalbu setiap warga ekonomi Melayu apa pun posisi kita dalam organisasi.

Kami juga menganggap pelancaran RMK9 oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri baru-baru ini merupakan satu jambatan yang dibina mendaki sebuah gunung yang tinggi. Ia memerlukan tenaga dan stamina untuk sampai ke atas. Kecuali dan hanya seluruh warga ekonomi Melayu mengembeling seluruh daya dan kekuatan dalam satu pasukan yang bersepadu untuk perjalanan yang bukan mudah ini, kita mungkin akan kecundang apabila munculnya pagi syahdu 2020 nanti.

Walau apapun cabaran yang kita hadapi, GABEM percaya dan yakin kebolehan dan kemampuan bangsa Melayu, jika digilap dan didokong, akan lebih hebat dari bangsa-bangsa yang lain. Kejayaan Kesultanan Melayu Melaka selama 110 tahun di Melaka 600 tahun dahulu yang mampu melahirkan sebuah ekonomi yang raksaksa ketika itu sehingga dipanggil Melaka oleh pendita–pendita Barat sebagai “The Emporium of the East” adalah satu penyataan sejarah yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Mudah-mudahan di zaman Yang Amat Berhormat Datuk Seri ini “sejarah berulang kembali” di mana kehebatan ekonomi Melayu akan menjadi sebuah realiti yang boleh ditepati.

GABEM juga menganggap kerjaya sebagai ahli perniagaan dan usahawan adalah satu tuntutan agama yang penting. Ia merupakan satu fardhu kifayah yang jika diusahakan dengan niat ikhlas kerana Allah demi membekalkan perkhidmatan dan barangan kepada pengguna atas landasan kesejahteraan masyarakat, InsyaAllah selain dari untung yang didapati, maka ganjaran yang tidak putus-putus dari Allah swt akan dinikmati selagi kebajikan itu terus diusahakan.

Akhirnya, sekali lagi bagi pihak GABEM, saya mengucapkan ribuah terima kasih di atas kehadiran dan ucaputama RMK9 yang akan diberikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri. Malah kami ingin menganggap ucaputama RMK9 dan perasmian pelancaran GABEM oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri seolah-olah Yang Amat Berhormat Datuk Seri akan mengistiharkan pelancaran sebuah “Jihad Ekonomi” untuk bangsa Melayu mulai hari ini, hari yang keramat dan historik untuk bangsa Melayu.

Kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib bin Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO, GABEM sukacita merakamkan penghargaan yang tinggi kerana telah sudi menjadi Penaung II kepada GABEM. Begitu juga kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Khir Toyo, Menteri Besar Selangor yang telahpun dilantik sebagai Penasihat kepada GABEM. Saya percaya dan yakin dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Penaung I GABEM, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri selaku Penaung II GABEM, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor sebagai Penasihat GABEM dan bersama kekuatan seluruh ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, Insyaallah masa depan GABEM akan menjadi lebih cerah dan gagah.

Terima kasih juga kepada anggota Yayasan Kajian dan Strategi Melayu, Ibu Pejabat UMNO terutamanya kepada YBhg. Dato’ Hussainy, Setiausaha Kerja UMNO Malaysia dan semua pihak yang telah secara langsung ataupun tidak menyumbangkan tenaga, material, masa dan lain-lain kepada kejayaan majlis kita pada hari ini.

Ucapan penghargaan kepada seluruh hadirin dan hadirat yang telah datang dari seluruh negara, dari Badan-badan Ekonomi, syarikat-syarikat atau orang perseorangan dan pemimpin-pemimpin UMNO yang mewakili Biro Ekonomi masing-masing. Mudah-mudahan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan akan dirahmati oleh Allah swt dengan memakbulkan doa kita agar perjuangan ekonomi bangsa Melayu akan berjaya akhirnya.

Sekian, wassallam.
Disediakan oleh :
Rahim Tamby Chik
060606





0 Comments:
Post a Comment
<< Kembali
 


Biodata
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email RTC


Pejabat
Suite 30-1, Wisma UOA 11
No. 21, Jalan Pinang
50450 Kuala Lumpur

Tel : 03-2163 4668
Fax : 03-2163 5658
SMS : 019-2010 000


Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Gabem Sana Sini





Akhbar Hari Ini
Pautan