LUMUT 13 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik hari ini mencadangkan supaya Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon membahagikan kuasa secara bertulis kepada timbalannya untuk menyelesaikan masalah berkaitan hal ehwal orang Melayu di negeri itu.
Beliau yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) memberitahu, antara kuasa yang boleh diserahkan kepada Timbalannya, Datuk Abdul Rashid Abdullah bagi diuruskan ialah perkampungan, tanah wakaf dan tanah perniagaan milik orang Melayu.
Menurut Abdul Rahim, sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau memang menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengekalkan formula politik yang ada sekarang di Pulau Pinang.
“Ini adalah kebijaksanaan sebab formula yang diguna pakai di Sabah tidak berapa sesuai untuk dilaksanakan di Pulau Pinang.
“Jika dua tahun UMNO (memerintah), dua tahun Gerakan, dua tahun MCA, mungkin ini juga tidak konsisten untuk memperkuatkan kedudukan UMNO yang dominan iaitu mempunyai kerusi yang lebih dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
“Jadi apa yang perlu dipertimbangkan untuk membaiki formula politik yang sedia ada ini ialah membahagikan kuasa Ketua Menteri kepada timbalannya bagi menyelesaikan masalah unik dihadapi oleh orang Melayu di negeri ini khususnya yang tinggal di pulau.
“Jika ini tidak dilakukan, kedudukan Timbalan Ketua Menteri sama juga dengan kedudukan ahli-ahli Exco biasa walaupun membuat keputusan tetapi kata putus yang muktamad masih terletak di tangan Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu Ketua Menteri atau Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Beruas di sini hari ini.
Abdul Rahim mengulas mengenai isu giliran Ketua Menteri Pulau Pinang yang dibangkitkan oleh Pemuda UMNO baru-baru ini dan dakwaan kegagalan Tsu Koon memajukan ekonomi masyarakat Melayu di negeri itu.
Menurut beliau, mungkin dengan memberi pembahagian kuasa secara bertulis kepada Timbalan Ketua Menteri tentang hal-hal yang bersangkutan dengan posisi Melayu Pulau Pinang akan menjadi formula yang boleh diterima oleh kebanyakan orang Melayu dan UMNO.
“Sebagai contoh jika kuasa Ketua Menteri ada 10, Tsu Koon boleh pegang enam, manakala empat lagi diberikan kepada timbalannya secara bertulis.(Utusan Malaysia)
LUMUT 13 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mempunyai kapasiti untuk menjatuhkan Perdana Menteri kerana institusi itu mempunyai hubung kait dengan Presiden UMNO, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Beliau berkata, hubung kait itu membawa maksud di Malaysia tidak ada seorang pun boleh menjadi Perdana Menteri kecuali beliau merupakan Presiden UMNO.
“Saya mempunyai keyakinan sebarang orang perseorangan termasuk Dr. Mahathir memang tidak mempunyai kapasiti untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri sebab institusi Perdana Menteri ini ada hubung kaitnya dengan institusi Presiden UMNO di Malaysia.
“Jadi sebab itu, kalau beliau (Dr. Mahathir) hendak menjatuhkan Perdana Menteri yang pada masa yang sama Presiden UMNO, maka beliau kena menyakinkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 191 bahagian UMNO atau sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 2,500 hingga 2,600 perwakilan yang bermesyuarat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Beruas di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang meminta Dr. Mahathir berhenti daripada terus mengkritik kerajaan secara terbuka kerana tindakan dibuat bekas Perdana Menteri itu dilihat mahu menghancurkan UMNO.(Utusan Malaysia)
Setelah diberi tanggungjawab oleh Majlis Tertinggi UMNO melalui penubuhan GABEM (Gagasan Badan Ekonomi Melayu), Tan Sri Abdul Rahim Tambychik tidak menunggu lama untuk menjelajah diseluruh pelusuk negara dalam usaha memperkenalkan Gabem. Badan yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan untuk 'menghimpun maufakat' di kalangan badan-badan ekonomi Melayu.
Sebagai Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim mempunyai visi dan hala tuju bagi merealisasikan impian Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi terhadap Gabem. Ikuti perancangan dan harapan beliau dalam Dewan Ekonomi keluaran Ogos 2006 terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.http://www.karangkraf.com/dewanekonomi
LUMUT 30 Julai – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan ditubuhkan di setiap negeri bagi memastikan prestasi ekonomi orang Melayu dipantau secara lebih dekat,kata Pengerusinya, Tan Sri Rahim Thamby Chik.
Beliau berkata, penubuhan Gabem itu juga untuk mengetahui segala masalah yang wujud dan perkara ini telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Tambahnya, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan mengetuai Gabem di setiap negeri bagi memastikan segala masalah berhubung keusahawanan dan ekonomi orang Melayu terus dipantau sebaik mungkin.
‘‘Perdana Menteri telah bersetuju supaya Gabem ditubuhkan di setiap negeri supaya segala permasalahan tentang kemajuan ekonomi orang Melayu dipantau secara lebih dekat.
‘‘Masalah-masalah yang wujud ini juga akan dapat terus dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan Peranan Gabem Dalam Mengukuhkan Agenda Ekonomi Melayu pada Seminar Keusahawanan Hala Tuju Ekonomi Pemuda Perak 2006 di Teluk Batik, di sini hari ini.
Menurut Rahim, Ahli Jawatankuasa Gabem di peringkat negeri akan dianggotai 20 orang termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menjadi penasihat.
‘‘Apa yang penting, badan-badan ekonomi yang berada di setiap negeri perlu bersatu dan perlu menghubungi Gabem supaya permasalahan mereka dapat perhatian terus dan mempunyai forum yang betul dalam mempermudahkan tindakan,” katanya.
Rahim menambah, MT UMNO juga menggalakkan penubuhan badan yang berkecimpung dalam bidang ekonomi kerana ia memudahkan sebarang penyaluran bentuk bantuan serta kepentingan lain.
Katanya, dengan mempunyai badan yang mengambil kira kepentingan orang Melayu dalam bidang ekonomi, sudah pasti masalah keciciran Melayu dalam bidang ini dapat dikurangkan.
Beliau berkata, dengan mempunyai badan ini ia memudahkan pemantauan dan mampu mencegah dari segi penyelewengan dan rasuah dalam pengurusan ekonomi.
Sebahagian daripada peserta yang hadir dalam Seminar Hala Tuju Ekonomi Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) anjuran Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan UMNO Bahagian Kepong
Tan Sri Abdul Rahim bersama Dato' Ridzwan Abdul Hamid (kiri) Ketua UMNO Bahagian Kepong ketika sidang media selepas majlis tersebut
KUALA LUMPUR 23 Julai – Kerajaan perlu berhati-hati dalam menjalankan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) dan tidak tunduk kepada tekanan.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, Malaysia tidak perlu tunduk kepada tekanan AS agar perjanjian itu segera dimeterai sehingga menjejaskan agenda ekonomi nasional.
‘‘Gabem bimbang rundingan itu akan membuahkan hasil berat sebelah kerana tekanan oleh AS sehingga kepentingan komuniti perniagaan tempatan terjejas.
‘‘Malaysia bergerak atas landasan keharmonian hidup pelbagai kaum serta pengagihan kekayaan yang adil dan jika ini diganggu, kita bimbang akan merosakkan semua yang telah disusun oleh kerajaan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hala Tuju Ekonomi Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) anjuran Biro ekonomi dan Pembangunan Usahawan UMNO Bahagian Kepong di sini, hari ini.
Tambahnya, AS sebagai sebuah kuasa besar pastinya akan mengenakan tekanan ke atas Malaysia untuk menyegerakan perjanjian berkenaan.
Ujarnya, negara itu juga menggunakan pelbagai saluran termasuk badan bukan kerajaan, individu serta pegawai kerajaan bagi mengumpul maklumat potensi ekonomi Malaysia.
Justeru katanya, Malaysia juga perlu menggunakan semua agen yang ada bagi menilai balik segala syarat yang telah ditetapkan oleh AS agar ia tidak berat sebelah.
‘‘Jangan dengan FTA, ada kontraktor AS yang berbaris sama menghantar borang tender bagi projek-projek kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
‘‘Kalau keistimewaan sedemikian yang diberi boleh tetapi pastikan kita juga mendapat hak yang sama di negara mereka,’’ ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan juga perlu menimbangkan penglibatan kontraktor bumiputra berpotensi dalam projek pembinaan landasan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura.
Menurutnya, walaupun projek berkenaan merupakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) namun ia perlu memberi manfaat kepada kontraktor lain terutamanya bumiputra.
‘‘Mungkin kerajaan boleh menetapkan beberapa syarat agar kontraktor bumiputra tidak ketinggalan dalam projek berkenaan,’’ jelasnya.