Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Pengerusi Gabem JOHOR BAHRU 12 Okt. – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan memastikan dasar ekonomi negara terutama Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mencapai matlamat dan dimanfaatkan oleh setiap golongan termasuk mereka di peringkat akar umbi.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, sehubungan itu, jawatankuasa peringkat negeri akan diwujudkan di semua negeri tahun depan bagi memenuhi matlamat tersebut.
Menurutnya, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri kecuali Kelantan dan Pulau Pinang telah pun dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai penaung jawatankuasa berkenaan.
‘‘Manakala setiausaha kerajaan negeri dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak sebagai penasihat kepada jawatankuasa yang dianggotai 20 orang itu,” katanya selepas menemui Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, setiap Menteri Besar dan Ketua Menteri pula diminta mengemukakan tiga calon untuk dilantik sebagai Pengerusi Gabem peringkat negeri masing-masing.
‘‘Perdana Menteri sendiri akan memutuskan siapa yang layak mempengerusikan jawatankuasa itu,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, Abdul Ghani telah pun bersetuju untuk membentuk jawatankuasa peringkat negeri Johor dan akan melancarkannya pada Februari tahun depan.
‘‘Johor menyokong penuh peranan Gabem untuk menyatukan semua badan ekonomi termasuk persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi-koperasi Melayu,” katanya.
Menurutnya, ini kerana menerusi gabungan itu setiap dasar ekonomi akan dapat dipantau daripada sebarang penyelewengan dan rasuah yang boleh mengagalkan pelaksanaannya.
Beliau seterusnya menegaskan, perjuangan Gabem berasaskan Jihad Ekonomi yang tidak akan menggugatkan sama sekali ekonomi kaum lain di negara ini.
|