JIHAD EKONOMI MELAYU


Perlu dijadikan misi nasional ke arah memajukan bangsa - PM

KUALA LUMPUR 6 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perjuangan mengukuhkan ekonomi orang Melayu adalah satu jihad yang mesti dijadikan misi nasional.
Perdana Menteri berkata, hanya setelah ekonomi dikukuhkan kedaulatan bangsa Melayu di tanah air sendiri akan lebih bererti.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Melayu bekerja keras menjayakan agenda itu ke arah menjadi mereka bangsa maju menjelang 2020.

``Jihad ekonomi perlu menjadi misi nasional menyatukan seluruh bangsa Melayu dalam satu muafakat menuju satu impian dan aspirasi ke arah menjadi bangsa maju dan berdikari.

``Orang Melayu perlu melakukan hijrah minda bagi memperbaiki kedudukan mereka sekarang kepada kedudukan lebih tinggi dan baik,'' katanya pada ucaptama Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan melancarkan penubuhan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, pengisytiharan itu bukan bertujuan menafikan hak kaum lain dalam mengejar ekonomi tetapi bagi menyusun perancangan dan tindakan kerja supaya bangsa Melayu dapat maju setanding dengan kaum-kaum lain.

``Misi nasional ini bertujuan mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum, wilayah dan sektor.

``Ia memerlukan penglibatan semua kaum, barulah kita (seluruh rakyat Malaysia) boleh mencapai matlamat yang ditetapkan di bawah Wawasan 2020, menjadi bangsa Malaysia yang maju dan kuat.

``Misi ini bukan satu kempen anti orang bukan Melayu, tetapi bagi menjadikan orang Melayu, bangsa yang berdikari dan tidak lagi bergantung kepada bantuan kerajaan sepanjang masa,'' katanya.

Beliau berkata, dalam konteks ini, Gabem boleh menggabungkan tokoh-tokoh pentadbiran, korporat dan akademik Melayu serta pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan orang Melayu serta agensi kerajaan bagi melaksanakan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut.
‘‘Ia untuk menjana tenaga dan kepakaran orang Melayu bagi membuat perancangan supaya dapat mengatur pelaksanaan, katanya.

Menurut Abdullah, sekiranya tidak ada perancangan, akan berlaku ketirisan, penyelewengan dan masalah, yang akhirnya melemahkan pelaksanaan bagi menjayakan agenda orang Melayu.

“Di sinilah pentingnya Melayu tolong Melayu sebagai tanda muafakat dalam melaksanakan jihad ekonomi dan menyusun kerja dan tindakan bagi menjayakan agenda Melayu,” katanya.

Beliau juga menggesa orang Melayu supaya memupuk budaya menimba ilmu di peringkat anak-anak lagi bagi melahirkan modal insan yang dapat menyumbang ke pada misi tersebut.
“Apabila budaya menimba ilmu terhenti akan lahirlah bangsa yang jumud,” katanya.

Mengenai Gabem, Perdana Menteri berkata, inilah pertama kali UMNO menyediakan satu mekanisme untuk melaksanakan program-program bagi menjayakan agenda Melayu.
Katanya, orang Melayu juga perlu pandai membina rangkaian sebagai akses kepada perniagaan Melayu dan juga dalam sektor-sektor ekonomi lain.

Mengenai RMK-9, Abdullah berkata, ia merupakan satu rancangan yang komprehensif bagi memajukan semua sektor, wilayah dan masyarakat.

Menurutnya, ia menekankan pendekatan perlunya setiap rakyat Malaysia menjiwai falsafah dan semangatnya bagi membawa Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

“Setiap perancangan dan nilai kerja perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh supaya ia membawa kebajikan kepada rakyat,” katanya.

“Tanpa ada perubahan sikap dan cara bekerja, kita tidak akan dapat membuat anjakan paradigma dan mencapai kemajuan,” tambah beliau.

Lebih 3,000 orang termasuk pegawai kerajaan, pemimpin UMNO, tokoh korporat dan akademik menghadiri majlis tersebut.

Dipetik dari Utusan Malaysia
0 Comments:
Post a Comment
<< Kembali
 


Biodata
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email RTC


Pejabat
Suite 30-1, Wisma UOA 11
No. 21, Jalan Pinang
50450 Kuala Lumpur

Tel : 03-2163 4668
Fax : 03-2163 5658
SMS : 019-2010 000


Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Gabem Sana Sini





Akhbar Hari Ini
Pautan