TAN SRI RAHIM TAMBY CHIK (RTC) adalah satu nama yang cukup besar dalam arena politik tanah air lebih sedekad lalu. Tiada siapa boleh menafikan peranan berkesan yang telah dimainkannya dalam membangunkan negeri Melaka yang pada suatu ketika pernah digelar 'sleepy hollow' hingga kini menjadi begitu 'berani' mencabar' wawasan nasional melalui perisytiharan tahun 2010 sebagai target untuk mencapai taraf negeri maju - 10 tahun mendahului Wawasan 2020.
Siapa yang meletak batu asas ini kalau bukan RTC! Dan sejak sebulan lalu, nama RTC kembali disebut berikutan pelancaran GABEM (Gagasan Badan Ekonomi Melayu) yang diterajuinya sebagai 'pesawat' baru untuk mengangkut orang Melayu keluar dari dilema ekonomi yang telah membelenggu sekian lama.
RTC tidak menolak bahawa perlantikan beliau oleh Majlis Tertinggi UMNO yang menaungi NGO itu mungkin ada kaitan dengan track record cemerlang yang telah dibuktikannya sepanjang 12 tahun memerintah Melaka. Ini juga adalah satu comeback dalam politik yang amat 'menjadi' sejak beliau memenangi kerusi MT dalam pemilihan parti dua tahun lalu. Begitu pun RTC dengan tegas mengatakan bahawa GABEM adalah bukan 'kuda tunggangan' siapa-siapa, termasuklah dirinya sendiri. "Ini tanggung jawab besar yang kita kena pikul bersama, ini perjuangan bangsa kita untuk memulihkan maruah dalam bidang ekonomi. Nak berpolitik, GABEM bukan tempatnya!" tegas mantan Ketua Pemuda UMNO yang semakin 'berisi' setelah berehat agak lama.
Majlis Tertinggi UMNO, kata RTC, yang menaungi GABEM bagi orang Melayu adalah lebih penting daripada Kabinet. "Jadi, ini bukan main-main. Kita kena sungguh-sungguh, bersatu hati, bersatu tekad dan matlamat," katanya. Atas sebab itu, bagi RTC, jawatan Pengerusi GABEM juga adalah lebih mencabar, lebih berat tanggung jawab jika dibandingkan dengan jawatan Ketua Menteri Melaka yang pernah dipikulnya. Ikuti temubual oleh MUHAMAD MAT YAKIM & IMRAN MOHAMAD NOR yang dipetik dari Akhbar BACARIA 1 Julai 2006
BACARIA Boleh Tan Sri jelaskan, bagaimana tercetus idea penubuhan GABEM?
RAHIM TAMBY CHIK GABEM bermula daripada senario di mana pada tahun 2005 apabila kita dapati penguasaan orang Melayu dalam sektor ekonomi negara meleset daripada 22 peratus kepada 18.5 peratus. Ini adalah satu kejutan yang amat mengecewakan. Bagi saya, ini semacam satu ledakan gunung berapi yang boleh menggagalkan satu perjuangan ekonomi sebuah bangsa.
Ini kemudiannya telah menarik keprihatinan orang-orang Melayu dan telah menjadi perdebatan di seluruh tanah air kita sehingga membawa kepada satu keadaan di mana perwakilan-perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2005 telah menumpukan banyak kepada ucapan mereka menzahirkan kekecewaan terhadap pencapaian orang-orang Melayu dan meragui kebolehan kita untuk menjadi bangsa yang maju pada tahun 2020.
Jika tahun 2020 kita tidak mencapai tahap itu walaupun negara Malaysia diisytihar maju sedangkan orang Melayu masih tidak maju, ini adalah satu penghinaan kepada bangsa kita. Kerana itu, atas kekecewaan, kehampaan dan perdebatan mengenai isu-isu ini, UMNO telah mula meluluskan satu usul yang dipanggil Agenda Nasional Baru (ANB) di mana melalui agenda ANB ini, kita mengembalikan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Walaupun kita ada DEB ini, tetapi dalam kepimpinan lalu, kita wujudkan dasar lain yang dipanggil Dasar Pembangunan Negara (DSN) yang kebanyakannya berteraskan meritokrasi tetapi nampaknya DSN yang bertunjangkan meritokrasi ini tidak dapat mencapai tahap yang kita ingini, bahkan ia turun kepada 18 peratus. Jadi kita ubah kepada ANB untuk memulihkan kembali semangat ekonomi orang Melayu.
Atas keprihatinan ini, Majlis Tertinggi UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, mengarahkan satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi bagi membincangkan agenda Melayu. Dalam perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa antara keputusan yang penting dibuat ialah menubuhkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) bagi mengembalikan semula kecapaian ekonomi orang Melayu.
Dengan penubuhan GABEM ini, kita mahu supaya pembangunan pada masa akan datang dapat disertai sama oleh rakyat di peringkat akar umbi. Kalau kerajaan misalnya, projek-projek kerajaan yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), pegawai-pegawai kerajaan adalah sebagai pelaksana projek-projek ini melalui ‘delivery system’ , tetapi mobilisasi penyertaan rakyat akan dibuat oleh GABEM melalui pemuafakatan badan-badan ekonomi Melayu.
Bila disebut badan-badan ekonomi Melayu ini termasuklah Dewan-Dewan Perniagaan, persatuan-persatuan, NGO-NGO dan apa saja organisasi ekonomi Melayu yang kita telah kenal pasti. Ada 1,900 badan-badan seperti ini sama ada ia aktif, tidur atau ia sudah ‘mati’. Tapi mana-mana badan ekonomi yang boleh bergerak di seluruh tanah air, kita hendakkan mobilisasi penyertaan rakyat melalui GABEM ini dengan kaedah badan-badan ataupun organisasi yang menerima akses dari badan-badan ekonomi yang menyertai GABEM, kita hendakkan supaya kita dapat berjuang dalam satu pasukan.
GABEM akan menyatukan semua badan-badan ekonomi ini menjadi satu pasukan yang akan bergerak sebagai satu rangkaian, satu nada dan satu suara. Macam orang Cina, mereka melalui Badan Perundingan Perniagaan Cina, mereka bergerak sebagai satu pasukan. Inilah yang kita akan lakukan melalui GABEM.
Dalam mewujudkan kekuatan ekonomi orang-orang Melayu, GABEM akan bergerak sebagai satu pasukan yang mempunyai satu matlamat, satu destinasi, satu wawasan dan satu hala tuju. Apa yang akan dilakukan oleh GABEM ini tidak akan mengusik badan-badan yang lain.
Badan-badan ekonomi yang ada sekarang, mereka kekal berjuang seperti biasa. Cuma kita berangkai dari segi keahlian. Maknanya mereka menjadi ahli dalam GABEM. Tetapi apabila menyentuh perjuangan ekonomi orang Melayu di peringkat nasional, barulah GABEM menjadi juara. Sebab GABEM menjadi juara kerana kedudukan GABEM berbeza dengan badan-badan lain. GABEM ditubuhkan oleh Majlis Tertinggi UMNO (MT). Dalam MT ada Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO. Jadi bila ada ahli-ahli majlis yang terdiri daripada orang-orang yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri, Ketua-ketua Eksekutif dan sebagainya, jadi kelebihan GABEM ialah mempunyai akses kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan yang segera.
Ada badan-badan ekonomi dahulu melantik sesetengah menteri jadi penaung untuk membela mereka. Tapi apabila menteri tersebut ditukar portfolio, maka dia tak boleh buat apa. Tetapi GABEM adalah satu institusi yang dilahirkan oleh UMNO dengan pucuk pimpinan yang menguasai seluruh negara boleh membuat keputusan serta merta.
BACARIA Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada orang-orang Melayu di hari pelancaran GABEM di PWTC baru-baru ini, sejauh mana Tan Sri yakin bahawa GABEM mampu membawa kejayaan kepada orang-orang Melayu dalam usaha mencapai matlamat menguasai ekonomi negara?
RAHIM TAMBY CHIK Saya amat yakin GABEM akan berjaya. Semasa saya menerajui negeri Melaka, saya telah berjaya menjadikan Melaka yang pada awalnya merupakan sebuah negeri yang termiskin, menjadi maju dan berjaya mentransformasi ekonomi yang lebih baik. Jadi mungkin dengan rekod itu, Perdana Menteri melantik saya sebagai Pengerusi GABEM.
Saya melihat agenda-agenda yang ada di dalam GABEM adalah agenda yang boleh dilaksanakan. Kalau tak boleh dilaksanakan, saya pun tidak mahu jadi pengerusi. Semua agenda itu boleh dilaksanakan cuma kita perlu bekerja kuat untuk menjayakan setiap agenda.
BACARIA Apakah strategi GABEM untuk memastikan agenda melahirkan orang Melayu yang berjaya dalam bidang ekonomi ini tercapai?
RAHIM TAMBY CHIK Mungkin kita akan adakan satu Majlis Perundingan dengan tokoh-tokoh daripada sektor perbankan atau mana-mana dan kita minta mereka berikan idea-idea dan mengkaji di mana kelemahan, apa sebab kita tidak boleh berjaya. Selepas itu, di bawah Majlis Perundingan kita tubuh pula Majlis Permuafakatan dan kita lantik Pengerusi atau Yang Dipertua.
Pengerusi atau Yang Dipertua ini perlu mengemukakan apakah permasalahan atau sebab-sebab ahli-ahli dan membawa perkara tersebut kepada GABEM untuk diselesaikan. Apa saja isu ekonomi yang bersifat nasional yang memberi justifikasi kepada orang Melayu, akan diperjuangkan oleh GABEM.
Selain itu GABEM juga sudah menubuhkan Sekretariat Perniagaan Muslim Global (The Global Muslim Business Secretariats). Kita akan mengadakan kerjasama dengan dunia Islam. Kita sudah pun mengenal pasti orang-orang yang akan menjalankan sekretariat di Kuala Lumpur.
Kita juga akan menubuhkan Badan Pencegah Ketirisan. Kita akan melantik orang-orang berwibawa untuk duduk dalam badan ini bagi melihat sama ada penyelewengan, rasuah dan kelemahan-kelemahan yang berlaku. Pasukan ini sama seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR). Dan sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penyelewengan atau rasuah dalam perniagaan atau dalam mendapatkan kontrak, boleh melaporkan terus kepada badan ini. Ini kita lakukan dalam usaha memperkasakan permuafakatan.
Yang lain pula, seperti mengubah minda dan sikap, GABEM akan tubuhkan ‘Young Entrepreneur Secretariat’ (YES) untuk mempastikan bahawa penerapan nilai-nilai keusahawanan pada peringkat persekolahan dapat dimulakan. Kita mahu kalau boleh selepas tamat persekolahan, mereka terus diberi pendedahan minda mengenai perniagaan.
Kita mahu wujudkan usahawan muda dan kita akan berikan galakkan kepada mereka. Katakan mereka mempunyai idea untuk sesuatu projek dan dia hantar kepada GABEM, kita akan ambil dan kaji, jika benar mereka ada inovatif dan kreatif, kita akan angkat martabat mereka. Walaupun mereka yang tak ada duit, tak kenal ramai orang ataupun tak ada modal. BACARIA Maknanya dari segi modal juga GABEM akan bantu?
RAHIM TAMBY CHIK Kita bantu mana-mana syarikat yang kita kenal pasti ada potensi untuk maju. GABEM akan bantu mereka melalui rangkaian yang ada. Kalau syarikat itu tidak mempunyai modal tetapi mempunyai idea yang baik, kita akan bantu mereka.
BACARIA Agenda GABEM adalah cukup besar dan kita menjangkakan ia akan mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan. Oleh kerana GABEM ditubuhkan oleh MT UMNO, sebuah parti politik yang melalui proses pemilihan kepimpinan setiap tiga tahun sekali, apakah jaminan bahawa dalam memastikan agenda GABEM akan berterusan walaupun pimpinan parti atau GABEM sendiri bertukar?
RAHIM TAMBY CHIK Agenda GABEM akan berterusan walaupun pucuk pimpinannya bertukar. Ia tidak menjadi masalah. Kalau saya sudah tidak lagi menjadi pengerusi, orang lain boleh jadi pengerusi. Tapi institusi GABEM ini tetap di bawah MT untuk membawa perjuangan ekonomi orang Melayu sebagai satu perjuangan yang sangat penting, sama penting dengan perjuangan politik.
Kalau UMNO berjaya dalam perjuangan politik membela orang-orang Melayu, GABEM hendaklah berjaya dalam perjuangan membela ekonomi orang-orang Melayu dengan menggabungkan seluruh badan-badan ekonomi Melayu menjadi satu wadah yang menjurus ke arah matlamat yang lebih berjaya, cemerlang, gemilang dan terbilang.
GABEM juga akan wujudkan laman web: inovasiniaga.com.my atau telemodal.com.my. Ini semua akan membantu masyarakat usahawan dan perniagaan Melayu menjadi lebih maju. Ini semua boleh kita lakukan dan ia bukan seperti ‘angan-angan Mat Jenin’.
BACARIA Memadangkan GABEM ditubuhkan oleh MT dan semua ahli politik berada dalam badan ini, bagaimana Tan Sri boleh memastikan tidak wujud ‘politiking’ dalam GABEM? Ini kerana kita dapati banyak pertubuhan ekonomi dan sosial akhirnya menjadi 'rosak' apabila ia dicemari unsur-unsur politik...
RAHIM TAMBY CHIK Walaupun GABEM ditubuhkan oleh MT dan semua ahli politik menerajui GABEM, saya akan pastikan bahawa tidak akan ada ‘politiking’ dalam GABEM. Kalau hendak berpolitik, GABEM bukan tempatnya. Tempatnya adalah UMNO. Kalau seseorang itu betul-betul ingin menjadi wira perjuangan ekonomi Melayu, orang itu boleh menyertai GABEM. BACARIA Apakah pembangkang juga turut dijemput menyertai GABEM?
RAHIM TAMBY CHIK Sesiapa saja boleh menyertai GABEM, tak kira sama dia PAS, Keadilan, DAP atau sesiapa saja, asalkan ideologi politik diketepikan. Sesiapa yang duduk di dalam jawatan GABEM, dia juga akan duduk dalam Majlis Permuafakatan. GABEM harus dijadikan sebagai suatu institusi yang benar-benar bebas daripada politik.
Walaupun GABEM ditubuhkan oleh MT, tetapi matlamatnya khusus untuk memperjuangan ekonomi orang-orang Melayu. Bukan untuk perjuangan politik. GABEM akan dijadikan sebagai gelombang ekonomi. Dalam ucapan di pelancaran GABEM tempoh hari, saya laungkan slogan “Melayu Tolong Melayu”.
Bila kita sebut Melayu Tolong Melayu, ia tidak mengambil kira sama ada dia orang PAS atau UMNO. Apabila seseorang itu menjadi lebih kaya, maka dia hendaklah membantu golongan yang miskin. Kalau syarikat orang itu menjadi lebih besar, dia kena tolong syarikat yang lebih kecil. Membantu melalui mekanisme ekonomi. Katakan kalau dapat projek RM100 juta, RM50 juta dia kena buat subsidiari. Kita tidak mahu lagi ada syarikat yang dapat projek RM100 juta, RM50 juta dia buat sendiri dan yang baki RM50 juta itu pun dia sendiri juga ambil melalui syarikat-syarikat miliknya yang berlainan nama.
Dalam GABEM kita akan pastikan mana-mana syarikat yang mendapat projek besar tidak akan membolot kesemua projek tersebut. Dia mesti membahagikan separuh projek tersebut kepada syarikat-syarikat kecil milik orang Melayu lain. Semangat memperjuangan ekonomi orang-orang Melayu secara bersepadu mesti ada dalam diri seseorang itu. Perlu ada sikap “Melayu Tolong Melayu”.
Kita tidak mahu hanya kerajaan saja yang tolong orang Melayu. Sampai bila kita hendak bergantung pada tongkat yang diberikan oleh kerajaan. Inilah yang GABEM akan perjuangkan.
BACARIA Bilakah ‘target’ atau sasaran Tan Sri untuk melihat pencapaian di peringkat awal penubuhan GABEM ini?
RAHIM TAMBY CHIK Pada hari pelancaran GABEM, kita sudah menandatangani tiga MoU. Salah satu daripadanya ialah penubuhan Sekretariat Perniagaan Muslim Global (The Global Muslim Business Secretariats). Ini kita segera laksanakan kerana ia akan mengenal pasti peluang-peluang perniagaan di negara luar terutama ahli-ahli pertubuhan OIC.
Negara Islam sebenarnya kaya sumber tetapi mereka tidak mempunyai sistem ekonomi, sistem bank yang baik, tidak ada modal yang cukup, infrastruktur mereka hancur. Jadi dalam hal ini, kita akan jadikan Malaysia sebagai juara ekonomi dalam membekalkan perkhidmatan dan keperluan negara-negara Islam yang seperti ini.
MoU kita yang kedua ialah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di mana GABEM akan membekalkan sumber tenaga yang mempunyai ‘optimum skill’ terdiri daripada pengarah dan pengurus yang berkemahiran tinggi. Kita akan berikan perspektif bahawa gerai-gerai kecil juga perlu dibantu dari segi pengurusan dan kemahiran layanan yang boleh menarik pelanggan. Peniaga-peniaga kecil perlu diberi pendedahan bagaimana ingin menjadi peniaga yang baik dan berjaya menguasai ekonomi.
Yang ketiganya ialah kita mengadakan MOU dengan Bank SME (IKS) untuk membantu anak-anak Melayu yang kita kenal pasti ada potensi untuk berjaya dalam perniagaan. Kebanyakan orang-orang Melayu yang menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan selama lima tahun ke atas dan mempunyai trek rekod yang baik, kita akan bantu.
GABEM juga akan membantu mana-mana syarikat yang sudah berjaya sehingga mereka berjaya disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Dalam hal ini, kita sudah memeterai satu perjanjian dengan BSKL. Kita sasar, sekurang-kurangnya dalam satu tahun sebanyak 20 syarikat baru Bumiputera akan tersenarai di BSKL.
Berkaitan penyenaraian syarikat-syarikat ke BSKL, kita ada perjanjian pula dengan Arab Malaysian Banking (AmBank). Selepas tersenarai di BSKL, kita akan bantu lagi mereka dengan pemberian projek yang besar sehingga syarikat mereka benar-benar ‘establish’.
Bagaimanapun saya mengakui bahawa tugas menerajui GABEM ini bukan satu tugas yang mudah. Ia sebenarnya lebih berat berbanding menerajui sebuah kementerian kerana kita mempunyai matlamat untuk melihat orang-orang Melayu benar-benar berjaya dan menguasai bidang ekonomi negara ini. Ini sudah semestinya bukan sesuatu yang mudah bak kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
BACARIA DEB ditubuhkan pada tahun 1970 untuk membantu orang-orang Melayu dalam bidang ekonomi. Tetapi orang Melayu masih gagal menguasai ekonomi negara. Apakah kepincangan ketara yang Tan Sri lihat dalam hal ini?
RAHIM TAMBY CHIK Pertama sekali perbuatan “hidung mancung, pipi tersorong-sorong”. Kerajaan sahaja yang heboh sedangkan orang Melayu sendiri rata-ratanya kurang ambil peduli atau pandang ringan saja dalam usaha kita hendak mencapai matlamat ini bahkan ada yang langsung tidak ambil peduli. Kadang-kadang projek yang diberikan kerajaan, mereka jual kepada orang Cina.
Jadi GABEM mengambil pendekatan, orang Melayu sendiri perlu bangkit untuk membantu orang Melayu. Slogan “Melayu Tolong Melayu” ini harus dijadikan sebagai asas utama perjuangan dalam usaha mengembalikan kekuatan ekonomi orang Melayu. Orang Melayu perlu berubah sikap dan amalan yang tidak baik seperti sikap “ali baba”, rasuah dan sebagainya. Ini harus dihentikan segera.
Sikap negatif ini akan menjadikan ketirisan yang membawa kepada penurunan prestasi penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi negara.
BACARIA Apa harapan Tan Sri kepada orang-orang Melayu yang masih belum menyertai GABEM?
RAHIM TAMBY CHIK Saya ingin berpesan kepada orang-orang Melayu supaya jangan ragu-ragu untuk menyertai GABEM. Saya ingin memberi keyakinan bahawa GABEM bukanlah suatu badan NGO yang biasa. GABEM adalah satu organisasi yang lahir di bawah kesedaran pemimpin–pemimpin tertinggi UMNO yang ingin melihat orang Melayu menguasai ekonomi negara.
BACARIA Dengan tanggung jawab sebegini berat, bagaimana jika diminta Tan Sri membandingkan jawatan selaku Pengerusi GABEM dengan jawatan Ketua Menteri Melaka dulu, mana satu yang lebih mencabar?
RAHIM TAMBY CHIK (Ketawa) Semasa jadi Ketua Menteri dulu, saya punya autoriti untuk melaksanakan sesuatu. Saya boleh arah Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan yang lain. Jadi dalam masa 12 tahun pemerintahan, saya mempunyai keupayaan penuh untuk transform negeri Melaka tanpa menghadapi banyak masalah. Justeru, kalau ditanya mana yang lebih berat, mana yang lebih mencabar, bagi saya jawatan Pengerusi GABEM inilah. Sebabnya, walaupun GABEM dinaungi oleh MT UMNO, ia hanyalah sebuah NGO. Sebagai NGO, untuk merealisasikan matlamat penubuhan GABEM, jalannya adalah melalui permuafakatan. Kita nak bermuafakat menjadi satu. Ini bukan mudah nak diterima semua kerana kita sudah ada banyak pertubuhan, ada Dewan Perniagaan. Mereka akan berfikir, nanti bagaimana? Kalau masuk GABEM, apakah mereka akan jadi semakin kecil?
Inilah tugas saya, tanggung jawab saya iaitu memberi keyakinan kepada badan-badan kecil, sederhana dan terbesar supaya menyertai GABEM untuk sama-sama berjuang memulihkan ekonomi orang Melayu. Mereka yang menyertai GABEM perlu ada penghayatan terhadap perjuangan ekonomi orang Melayu supaya menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang.
Terima Kasih Bacaria/Karangkraf
|