LUMUT, 24 Disember 2006 – Meskipun kehadiran Tan Sri Rahim Tamby Chik selaku Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) petang itu ke Lumut bagi majlis perasmian Kursus Penanaman Cendawan anjuran Persatuan Peniaga dan Usahawan Melayu Malaysia di Setiawan, namun kehadiran beliau sudah di kesan terlebih awal oleh Ketua UMNO Bahagian Lumut Dato’ Dr Zambre Abdul Kadir yang terus menyesuaikan satu program bagi menjemput Tan Sri Rahim.
Kedatangan Tan Sri Rahim disambut penuh mesra oleh ahli-ahli UMNO dan penduduk Kampong Sungai Wangi. Makanan petang yang sedia terhidang dengan semua pimpinan cawangan hadir, bagaikan kenduri kampong gayanya pada petang itu. Terima kasih Dato' Dr..
Dato' Dr. Zambre dari Ketua Pemuda, kemudian Ketua Bahagian Lumut dan ADUN Pangkor serta Exco Kerajaan Negeri...hari ini meniti susun jalur kepimpinan Umno. Selamat berjuang Dato'...
Pemenang sudah diketahui melalui ikan yang merentap joran. Pelapis kecil Umno ini juga mungkinkah salah seorang daripada pemenang.
Tan Sri Rahim kagum dan bangga melihat perpaduan Umno terus kukuh dan ahli-ahli Umno di peringkat cawangan masih terus menjadi tunjang kepada kekuatan Umno secara keseluruhannya
Sudah pasti adik kecil ini salah seorang daripada pemenang pertandingan memancing. Namun bukan kemenangan itu yang diharapkan oleh Dato Dr Zambre tetapi penerimaan adik kecil ini membayangkan penerimaan generasi pelapis terhadap Umno.
Tan Sri Rahim dan Dato Dr. Zambre bergambar kenangan dengan para pemenang pada petang itu
Majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) dan UMNO Cawangan Kampong Sungai Wangi kelihatan meriah petang itu dengan kehadiran Tan Sri Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Bertempat di Dataran Kampong Sungai Wangi, kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampong dan peserta pertandingan. Kemesraan sebuah keluarga UMNO amat terasa hinggakan sukar untuk kita merasa terasing meskipun berada di tempat orang.
Dato’ Dr. Zambre yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak awal-awal lagi menunggu kami di persimpangan jalan masuk ke Dataran Kampong Sungai Wangi dan seterusnya dirai dengan jamuan petang yang enak.
Ketika diminta berucap di majlis serba ringkas tetapi penuh bermakna itu, Tan Sri Rahim tidak dapat menyembunyikan nostalgianya ketika menjadi Ketua Menteri Melaka dahulu bila melihat keakraban orang kampong Sungai Wanig menyambut dan merai beliau serta program yang dianjurkan.
Katanya, Umno sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Melayu. Ini dapat dilihat daripada suasana kehidupan masyarakat Melayu.
“Kalau nak buat kenduri kahwin, jawatankuasa Umno cawangan akan dibawa berbincang. Kalau ada kematian begitu juga malah hinggakan kepada majlis berkhatan pun umno cawangan akan dilibat.”
“Umno di peringkat cawangan adalah akar umbi kekuatan orang-orang Melayu. Oleh itu jangan sisihkan Umno dalam segala urusan terutama bila melibatkan komuniti masyarakat di kampong”.
“Di peringkat kampong, kita tak ada Ngo’s atau persatuan lain melainkan Umno dan disetengah-tengah tempat persatuan beliau. Namun persatuan belia itu sendiri dipimpin oleh orang yang ada pertalian dengan Umno.” tegasnya
Katanya, beliau merasa bangga bila melihat keakraban dan perpaduan yang ditunjuk oleh umno peringkat cawangan melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Jelasnya lagi, beliau bersedia untuk hadir lagi jika dijemput dalam mana-mana program Umno meskipun di peringkat cawangan.
Sementara itu dalam ucapannya Dato’ Dr. Zambri membayangkan beginilah cara hidup mereka menjaga dan memimpin Umno diperingkat bahagian dan cawangan, apatah lagi Umno di kawasan luar bandar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor berkata, beliau bersetuju dengan Tan Sri Rahim bahawa budaya hidup orang Melayu sudah sebati dengan Umno. Ini dapat ukur melalui perpaduan dan keakraban dalam masyarakat Melayu.
“Apa sahaja aktiviti masyarakat Melayu sudah menjadi aktiviti Umno, begitu juga sebaliknya. Inilah kekuatan dan perpaduan dalam keluarga Umno” jelasnya
GABEM BANGGA PENCAPAIAN PERSATUAN PENIAGA DAN USAHAWAN MELAYU MALAYSIA (PPUMM)
"Saya akan menyebut dimana-mana saja saya pergi tentang kejayaan dan kegigihan PPUMM. Saya bangga dengan pencapaian PPUMM" Tan Sri Rahim
Sebahagian daripada peserta Kursus Penanaman Cendawan yang dianjurkan oleh PPUMM
Tan Sri Rahim menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta kursus
Sijil kursus disampaikan oleh Tan Sri Rahim kepada peserta kursus
Peserta kursus, tenaga pengajar dan kepimpinan PPUMM bergambar kenangan bersama Tan Sri Rahim
SETIAWAN, 24 Disember 2006 – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan membantu dan menyokong usaha dan aktiviti persatuan-persatuan peniaga Melayu sedia ada dalam berbagai bidang sehingga berjaya melahirkan lebih ramai lagi usahawan Melayu yang berjaya. Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Katanya, kewujudan Gabem akan saling lengkap melengkapi antara persatuan usahawan Melayu sedia ada disamping Gabem akan bertindak sebagai pemudahcara kepada persatuan yang ingin mengembangkan lagi aktiviti dan usaha mereka.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Penanaman Cendawan anjuran Persatuan Peniaga dan Usahawan Melayu Malaysia (PPUMM) di Setiawan, Perak.
Sementara itu, beliau melahirkan rasa kagum dengan pencapaian dan kejayaan yang ditunjukan oleh PPUMM terutama dalam usaha melahirkan usahawan tani bukan sahaja di Perak malah di negara ini. Ini terbukti dengan lahirnya ramai usahawan tani dalam berbagai bidang selaras dengan usaha kerajaan untuk melihat sektor pertanian menjadi penjana ekonomi Negara.
“Saya kagum setelah melihat dengan dekat pencapaian dan kesungguhan PPUMM dalam meneroka bidang pertanian dan Gabem sudah pasti akan turut terlibat membantu apa yang perlu bagi merancakkan lagi penglibatan PPUMM dalam bidang pertanian”. Katanya
Di majlis tersebut Tan Sri Rahim turut menyampaikan sijil dan cenderamata kepada seramai 80 orang peserta kursus yang datangnya dari seluruh negara.
PENGERUSI GABEM : KENAPA SAYA PILIH RAHIM TAMBY CHIK - PAK LAH
PULAU PINANG – 2 Disemberi 2006 – Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan beliau memilih Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sebagai pengerusi GABEM (Gagasan Badan Ekonomi Melayu) atas beberapa faktor sedia ada. Katanya, beliau memilih Rahim Tamby Chik dan tidak tokoh koprat Melayu yang lain atau bekas Menteri untuk mengetuai Gabem disebabkan pertamanya, kagum dengan apa yang dirancang oleh Rahim untuk menggerakan Gabem. Disamping Rahim seorang yang tidak terlalu sibuk dengan tugas lain, tidak terlibat dalam perniagaan yang besar-besar dan yang penting beliau adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa beliau mengambil kira jasa dan peranan Rahim yang terbukti berjaya membangunkan Melaka semasa menjadi Ketua Menteri Melaka dulu sebagai faktor penilaian sedia ada. Disamping Rahim mempunyai pengalaman sebagai Timbalan Menteri dan mempunyai masa untuk menggerakan Gabem.
Menurut Perdana Menteri beliau menjelaskan perkara ini kerana tidak mahu timbul pertikaian kenapa beliau memilih Rahim dan tidak orang lain. Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan penubuhan Gabem peringkat negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang disini.
“Gabem adalah cetusan kehendak Majlis Tertinggi UMNO dan sudah tentu seorang Ahli Majlis Tertinggi perlu mengetuainya, sebab itu saya memilih Rahim” jelas beliau
Katanya, banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Gabem dan beliau berharap Gabem akan berada pada landasan yang betul demi untuk kepentingan ekonomi orang-orang Melayu.
PERDANA MENTERI, ketibaan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi di sambut oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang YB Dato' Seri Abdul Rashid Abdullah dan Pengerusi GABEM Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik
TETAMU KEHORMAT : Sebahagian daripada tetamu yang hadir, (tiga dari kiri) Senarot Dato' Musa Sheikh Fadzir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Dato Hilmi Abdul Rashid ADUN Bertam dan Dato' Abdul Jalil Abdul Majid ADUN Penanti
Sebahagian daripada tetamu yang hadir di majlis tersebut
PERLANTIKAN : Dato Abdul Jalil Abdul Majid menerima sijil perlantikan sebagai Ahli Jawatankuasa GABEM Pulau Pinang dari Perdana Menteri
Senator Dato' Musa Sheikh Fadzil turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa GABEM Pulau Pinang, menerima sijil perlantikan daripada Perdana Menteri
GABEM PULAU PINANG : Barisan Ahli Jawatankuasa GABEM Pulau Pinang bergambar kenangan bersama Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi GABEM, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik
PERDANA MENTERI BERI PERHATIAN SERIUS ISU KETIRISAN
PULAU PINANG 2 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan masyarakat perniagaan Melayu bahawa masalah ketirisan di kalangan mereka amat rumit dan kadangkala mencapai tahap luar biasa yang mengakibatkan mereka terdedah kepada penyelewengan serta rasuah.
Perdana Menteri berkata, tingkah laku negatif golongan perniagaan Melayu itu amat merunsingkan sehingga ada yang sanggup hidup hanya bergantung kepada komisen yang sedikit hasil penjualan projek yang diterima oleh mereka daripada kerajaan.
Menurut beliau, kerajaan tidak mahu lagi ciri-ciri seperti ini terus wujud dan ia perlu dibendung.
RASMI : Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memukul gong sebagai tanda perasmian GABEM Negeri Pulau Pinang
SIDANG MEDIA : Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Pengerusi GABEM ketika sidang media di Pulau Pinang
Perdana Menteri membuat ingatan itu semasa berucap pada Majlis Pelancaran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Pulau Pinang di sini hari ini.
Peringatan Perdana Menteri itu dinyatakan oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan.
Hadir sama termasuk Penaung Gabem negeri yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah dan Pengerusinya, Datuk Ahmad Ibnihajar.
Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama yang dipilih bagi meluaskan peranan Gabem ke seluruh negara dalam usaha membantu kerajaan membangunkan ekonomi orang Melayu.
Perasmian cawangan Gabem negeri seterusnya akan dilakukan di Selangor pada Jumaat depan.
Pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Perdana Menteri yang juga Presiden parti berkata, dalam usaha mengatasi masalah ketirisan akibat sikap golongan Melayu seperti itu, sebuah badan yang dikenali sebagai Gabem diwujudkan.
Beliau berkata, Gabem ialah badan bukan kerajaan yang penubuhannya direstui UMNO dan dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk golongan profesional Melayu.
Hasrat Abdullah ialah mahu Gabem memastikan supaya ketirisan itu dikurangkan sebanyak-banyaknya ataupun dipastikan tidak ada langsung apabila Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dijayakan.
Beliau juga kesal dan menganggap orang Melayu yang menerima permit, kontrak dan lesen daripada kerajaan tetapi kemudian mencari keuntungan cara pintas dengan menyerahkannya kepada pihak lain sebagai manusia yang amat memalukan.
Dalam pada itu, Abdul Rahim memberitahu, Abdullah turut meminta Gabem mengenal pasti peniaga bumiputera yang selama ini menjalankan perniagaan statik bagi membantu mereka mengembangkan mata pencarian mereka.
“Misalnya seorang mekanik yang hanya ketuk, tayar dan enjin selama berbelas-belas tahun. Kita mesti kaji mereka dengan pengalaman yang ada, kita dapat angkat martabat mereka.
“Mungkin kita boleh adakan sistem pasangan sebagai contoh graduan dalam pengurusan perniagaan yang mampu membuat kertas kerja untuk buat pinjaman dari bank, jadi kita cantumkan mereka jadi syarikat yang baru,” ujarnya.
Katanya, Perdana Menteri mahu golongan seperti itu dicari, dikenal pasti dan dikembangkan peranan mereka supaya perniagaan mereka lebih dinamik serta membawa keuntungan berlipat ganda.
Dalam pada itu, Abdul Rahim memberitahu, Gabem akan memantau soal ketirisan ini.
Sebagai Ahli Majlis Tertinggi, saya melihat ucapan Presiden kali ini sesuatu yang amat mantap dan fokus. Sesuatu yang membanggkakan di mana Presiden telah menggariskan 12 gagasan yang merupakan satu pendekatan terbaik dalam membangunkan negara khususnya orang Melayu.
Ucapan tersebut turut menjawab segala tohmahan yang dilemparkan terhadap pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri selama ini.
Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang ditubuhkan oleh Majlis Tertinggi UMNO akan memantau dan mengawasi sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2006 terutama perbahasan yang berkaitan dengan isu ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, selaras dengan penubuhan Gabem, perhimpunan agung Umno kali ini menjadi medan terpenting bagi Gabem untuk mengumpul segala maklumat yang diangkat oleh perwakilan ke perhimpunan agung.
“Perhimpunan agung Umno menjadi medan penting kerana setiap masalah di peringkat akar umbi diangkat dan dibahaskan di perhimpunan agung.
“Kesempatan ini Gabem akan menghantar para pegawai bagi bertugas sepanjang perhimpunan untuk mencatit dan mengumpul apa sahaja isu yang dibawa terutama sekali isu ekonomi dan masalah orang Melayu yang berkaitan dengan ekonomi” katanya
Menurutnya, segala catatan sepanjang perhimpunan agung akan dianalisa dan seterusnya diserah kepada Majlis Tertinggi Umno sebagai laporan dan analisa dari Gabem.
“Ini penting kerana Gabem juga akan bertindak berdasarkan apa yang dibangkit dan dibahaskan oleh perwakilan sepanjang perhimpunan agung” jelasnya
Tetamu Kehormat Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, hadir sebagai tetamu dan sahabat kepada Tan Sri Rahim Tamby Chik
Tun Khalil Yaakob bersalaman dengan tetamu yang hadir
Tun Khalil Yaakob bergambar kenangan dengan Tan Sri Rahim dan ahli keluarganya
Tan Sri Rahim dan Puan Sri bersama dengan tetamu yang hadir bergambar kenangan
Tun Khalil Yaakob, Tan Sri Rahim ditemani Puan Sri bersama sebahagian daripada Jawatankuasa Gabem memotong kek sempena Aidilfitri
Sebahagian daripada tetamu sedang menjamu selera
Tetamu dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu baru dan lama sambil menikmati juadah yang disediakan
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2006 anjuran Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), mendapat sambutan dengan dihadiri lebih 5,000 tetamu. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaacob.
Majlis yang menemukan rakan-rakan politik, perniagaan dan ahli keluarga Tan Sri Rahim Tamby Chik diadakan di Air Kroh D’Village pada 11 November 2006.
Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rostam dan Menteri Luar, Dato’ Seri Syed Hamid Albar.
MELAKA – Perwakilan yang menyentuh isu ekonomi dalam perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO kali ini dinasihatkan mengemukakan pandangan ikhlas dan teguran yang jujur, dengan memberikan gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku di peringkat akar umbi.
Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, berkata perwakilan juga tidak seharusnya hanya memberikan pandangan di peringkat nasional dengan fokus kepada apa yang berlaku di Kuala Lumpur saja, sebaliknya perlu melihat situasi dan keadaan di semua negeri.
Pada masa sama, katanya perwakilan tidak seharusnya memberikan pandangan yang memuji dan memuja, perlaksanaan projek ekonomi atau kepemimpinan negara semata-mata.
“Kita mahukan pandangan yang ikhlas, teguran yang jujur, memaklumkan di mana sebenarnya kita masih lemah dan di mana kita perlu perbetulkan.
“Berilah idea ikhlas, cadangan yang benar-benar objektif kearah merangsang pertumbuhan ekomomi negara, yang akan memberi kesan kepada peningkatan penguasaan ekuiti orang Melayu di negara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2006 di Air Keroh, Melaka.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, perhimpunan agung adalah peluang keemasan bagi orang Melayu untuk memperrbetulkan kelemahan jika ada, khususnya dalam strategi pelaksanaan dasar ekonomi negara.
Rahim menjangka, cara pengagihan projek bernilai RM200 bilion pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan sejauh mana ketelusan kerajaan dalam mengagihkan projek, antara isu yang akan disentuh perwakilan dalam perbahasan di perhimpulan kali ini.
“Mungkin rakyat dan perwakilan nak tahu berapa ramai terima projek dalam RMK9, apakah orang yang akan menerima projek itu betul-betul tulen, berkelayakan, serta mereka yang jika diberikan peluang akan dapat mempertahankan penyertaan Bumiputera dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tanpa menyebabkan ketirisan, penyelewengan dan perkara negatif,
“Jika berlaku ketirisan dan penyelewengan, berapa banyak sekalipun peruntukan diberikan kerajaan, matlamat meningkatkan ekuiti Bumiputera tidak akan dapat dicapai,” katanya
Beliau berkata, perwakilan dijangka menyentuh kedudukan ekonomi negara dan orang Melayu secara keseluruhan serta penyertaan orang Melayu dalam RMK9.
MELAKA 15 Oktober 2006 – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) berhasrat menganjurkan Kongres Jihad Ekonomi tidak lama lagi bagi meningkatkan semangat perjuangan ekonomi di kalangan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, kongres itu akan diadakan dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Menurutnya, tujuan utama kongres itu diadakan adalah untuk menuyokong rancangan kerajaan memastikan keadilan sosio-ekonomi kepada setiap rakyat.
Abdul Rahim berkata, kongres itu juga akan memfokuskan kepada kemampuan kerajaan dalam meningkatkan ekonomi orang Melayu.
“Bumiputera perlu memegang majority dari segi penguasaan ekonomi negara walaupun sasaran sebenar 30 peratus, t etapi dari segi hak keadilan sosio-ekonomi orang Melayu menurun dari 20 peratus kepada 18 peratus,” katanya
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 65 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Fatimah Az-Zaharah, Bukit Katil di sini.
Menurut Abdul Rahim, beliau juga mahu semua orang Melayu dapat mengubah minda dengan memandang dunia keusahawanan sebagai satu kerjaya mulia dan menjadikan budaya pada masa depan.
“Gabem ingin mewujudkan satu masyarakat perniagaan dan perdagangan bumiputera yang lebih luas,” katanya
TAN SRI RAHIM TAMBY CHIK SAMPAI SUMBANGAN HARI RAYA AIDILFITRI UNTUK ANAK YATIM
Tan Sri Rahim dan isteri, Puan Sri Zabedah menyampaikan duit raya untuk anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Fatimah Az-Zaharah
"Orang-orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Arrahman. Kasihanilah orang yang di bumi nescaya kamu dikasihani oleh yang di langit" - Asysya'bi dari Umar r.a
Sebahagian daripada tetamu yang hadir di majlis tersebut
"Bertawakallah kamu kepada Allah, lakukanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakatmu dengan senang hati, taatilah orang yang memegang urusanmu, engkau akan masuk syurga Tuhanmu." - Sabda Rasulullah s.a.w
MELAKA, 15 Oktober 2006 – Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri untuk 65 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Fatimah Az-Zaharah,Bukit Katil dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di sini.
Di majlis tersebut Tan Sri Abdul Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berharap dengan sedikit sumbangan ini akan membawa keceriaan kepada anak-anak yatim tersebut menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba.
Beliau juga menyeru semua pihak yang diberi kelebihan oleh Allah s.w.t agar tidak melupa golongan yang kurang bernasib baik terutama menjelang sambutan Aidilfitri.
Bercakap sebagai Pengerusi Gabem, beliau mahu budaya orang Melayu berniaga di bulan puasa tidak dijadikan perniagaan bermusim malah diteruskan sepanjang tahun.
Katanya, budaya berniaga di bazar-bazar ramadhan seluruh negara sebenarnya satu perkembangan yang baik bagi orang Melayu tetapi bila ianya hanya sekadar perniagaan bermusim sudah tentu tidak akan membantu bumiputera untuk meningkat dalam bidang ekonomi.
“Gabem memandang serius budaya ‘sebulan’ berniaga di kalangan orang Melayu sedangkan menjadi hasrat Gabem untuk melihat orang Melayu menjadikan perniagaan sebagai satu pekerjaan tetap dan terjamin.” katanya
Menurutnya, Gabem akan mengambil kira keadaan ini dan akan mencari jalan terbaik agar minat dan kesungguhan untuk berniaga ini akan dijadikan budaya perniagaan sepanjang tahun.
JOHOR BAHRU 12 Okt. – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan memastikan dasar ekonomi negara terutama Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mencapai matlamat dan dimanfaatkan oleh setiap golongan termasuk mereka di peringkat akar umbi.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, sehubungan itu, jawatankuasa peringkat negeri akan diwujudkan di semua negeri tahun depan bagi memenuhi matlamat tersebut.
Menurutnya, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri kecuali Kelantan dan Pulau Pinang telah pun dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai penaung jawatankuasa berkenaan.
‘‘Manakala setiausaha kerajaan negeri dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak sebagai penasihat kepada jawatankuasa yang dianggotai 20 orang itu,” katanya selepas menemui Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, setiap Menteri Besar dan Ketua Menteri pula diminta mengemukakan tiga calon untuk dilantik sebagai Pengerusi Gabem peringkat negeri masing-masing.
‘‘Perdana Menteri sendiri akan memutuskan siapa yang layak mempengerusikan jawatankuasa itu,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, Abdul Ghani telah pun bersetuju untuk membentuk jawatankuasa peringkat negeri Johor dan akan melancarkannya pada Februari tahun depan.
‘‘Johor menyokong penuh peranan Gabem untuk menyatukan semua badan ekonomi termasuk persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi-koperasi Melayu,” katanya.
Menurutnya, ini kerana menerusi gabungan itu setiap dasar ekonomi akan dapat dipantau daripada sebarang penyelewengan dan rasuah yang boleh mengagalkan pelaksanaannya.
Beliau seterusnya menegaskan, perjuangan Gabem berasaskan Jihad Ekonomi yang tidak akan menggugatkan sama sekali ekonomi kaum lain di negara ini.